Bekas Presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Perak, Kamarulzaman Abdullah, 65, dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah wang hasil penjualan tanah berjumlah RM492,474, pada 2019 dan 2020. Foto ABDULLAH YUSOF, 30 MAY 2024.

IPOH – Bekas Presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC) Negeri Perak, dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah wang hasil penjualan dua bidang tanah berjumlah RM492,474 pada tahun 2019 dan 2020.

Tertuduh, Kamarulzaman Abdullah, 65, mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ibrahim Osman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan memindahkan sebahagian wang penjualan dua bidang tanah Lot 536339 dan 536340 di Kampung Tengku Husin Baharu Ipoh milik PPOC Perak berjumlah RM413,974 kepada lima akaun peribadinya.

Manakala, bagi pertuduhan kedua dan ketiga, lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang berjumlah RM30,000 dan RM48,500 ke dalam akaun bank dua buah syarikat iaitu Lesung Mart dan Syarikat Inayrah Enterprise milik anak tirinya, Haryani Sulaiman, 48.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Maybank Cawangan Gunung Rapat Ipoh antara 8 November 2019 sehingga 1 Januari 2020.

Ketiga-tiga pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta denda.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sehari yang berjalan serentak dari tarikh sabitan hukuman dan denda RM80,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan wang tunai yang disita berjumlah RM11,200 serta wang simpanan sebanyak RM49,903 di dalam akaun empat buah bank beserta faedah sehingga 30 Mei 2024 dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1) (a) Akta SPRM 2009 kepada kerajaan Malaysia.

Selain itu, Ibrahim memutuskan kesemua barang kes diserahkan kembali kepada pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast