Foto FB KDN FC.

KUALA LUMPUR –  Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) terus menjadi pilihan penaja apabila menerima suntikan dana RM200,000 musim ini.

Menerusi media sosial kelab itu, tajaan diterima daripada penaja musim lalu, ROHM Electronics Sdn. Bhd. yang menyambung tajaan bagi musim 2024-25.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, musim lalu, pihak penaja ini memberi penekanan kepada program akar umbi sehingga berjaya membawa satu skuad bawah 16 tahun menyertai perlawanan persahabatan bersama tiga akademi bola sepak di Kasaoka, Jepun.

“Kita berharap tajaan ini akan berterusan untuk jangka panjang dan berbesar hati meneruskan penajaan dan kami hargai kepercayaan terhadap jenama KDN FC,” kata Rozi.

Terdahulu, majlis menandatangani kontrak disertai Rozi bersama Pegawai Komunikasi Korporat, Hisham Lokman dan Pegawai Operasi kelab, Mohd Afiq mewakili skuad Kijang Emas, manakala penaja diwakili Presiden ROHM Electronics, Hideki Hashimoto dan Pengurus Besar syarikat, Hiroaki Terasaka di pejabat urusan syarikat dari Jepun itu yang terletak di Pengkalan Chepa.