foto Instagram @thefamily.uk

KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan seorang kanak-kanak yang fasih bertutur dalam dialek Kelantan, Fatimah Omar Mukhlis, 10, semakin merosot walaupun pendarahan yang dialami telah berhenti sepenuhnya pada Jumaat lalu.

Menerusi Instagram thefamily.uk, ahli keluarga memohon orang ramai untuk mendoakan agar anak kedua daripada tiga beradik yang dikenali Fatimah London dan tinggal di United Kingdom itu diberikan kekuatan dan kembali sihat.

“Bismillahirrahmanirrahim, banyak yang berlaku dalam beberapa hari ini. Pendarahan Fatimah telah berhenti sepenuhnya sejak Jumaat lalu tetapi malangnya keadaannya semakin teruk.

“Kami sekeluarga dengan penuh rendah diri dan pengharapan, ingin memohon jasa baik anda semua agar sudi untuk terus mendoakan kesayangan kami, Fatimah binti Omar Mukhlis.

“Semoga Allah permudahkan urusan biopsi Fatimah tanpa sebarang komplikasi. Semoga berkat doa ramai, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah.

“Terima kasih pada semua yang tak putus-putus bertanya khabar, tolong mendoakan dan juga menitipkan kata-kata semangat buat Fatimah dan kami sekeluarga.

“Semoga segala jasa baik anda semua dikurniakan ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh Allah SWT,” tulis hantaran tersebut.

Dalam hantaran sebelum ini, kanak-kanak itu dilaporkan mengalami pendarahan selepas prosedur pembedahan biopsi pada minggu lepas.

Bagaimanapun selepas lapan hari, Fatimah terpaksa ditidurkan dalam usaha untuk menghentikan pendarahan tersebut.

Pun begitu, dua jam sebelum kanak-kanak itu dibawa masuk ke dalam bilik bedah, darah yang mengalir tanpa henti selama lapan hari itu telah kering.

Untuk makluman, Fatimah dilahirkan di Birmingham, United Kingdom (UK) mempunyai pertalian darah Malaysia dan fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Siam.

Dia juga merupakan anak saudara selebriti, Neelofa. – MalaysiaGazette