Anwar Ibrahim (kiri) dan Syeikh Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi (tengah) menunjukkan kitab fiqh zakat karya Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi yang diterjemah dalam bahasa Melayu.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengadakan peluncuran Kitab Fiqh Zakat karya Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Majlis bersejarah ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disaksikan bersama oleh Sahibus Samahah Syeikh Dr. Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi, Pengerusi Persatuan Ulamak Sedunia.

Turut hadir, Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dan Pengerusi PPZ-MAIWP, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Pertemuan yang berlangsung antara PPZ-MAIWP bersama Syeikh Yusuf pada tahun 2019 di Qatar bertujuan mendapat persetujuan rasmi dari Maktab Al-Qaradawi untuk menerbitkan terjemahan Kitab Fiqh Zakat ke dalam bahasa Melayu.

Meskipun adikarya ini terlebih dahulu telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia diketuai oleh Profesor Dr. K.H Didin Hafidhuddin dan sekumpulan penterjemah, namun kesan peredaran zaman dan terutamanya perbezaan penggunaan istilah, maka wujud keperluan mendesak agar kitab ini diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Naskah terulung yang dihasilkan oleh PPZ-MAIWP dengan kerjasama dari Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) boleh dianggap sebagai terjemahan pertama dalam Bahasa Melayu yang dihasilkan.

Secara umum, buku ini membincangkan secara komprehensif dan khusus mengenai isu-isu berkaitan zakat sama ada dari aspek teori mahupun persoalan kontemporari.

Kitab Fiqh Zakat karya Agung Almarhum Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradawi merupakan rujukan utama dalam aspek hukum dan pengoperasian zakat.

Pengisiannya menjadi rujukan untuk penambahbaikan dan kemajuan bagi institusi-institusi zakat di Malaysia.

PPZ-MAIWP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak yang turut terlibat dalam penerbitan terjemahan ini antaranya Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Johor, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri Johor. – MalaysiaGazette