Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pelaburan pusat data Google pertama dan rantau Google Cloud di Malaysia bernilau RM9.4 billion adalah bukti perencanaan kerajaan yang jelas, selain kekuatan ekonomi dan sumber negara menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur sedia ada dan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut baik pengumuman oleh Google itu berkata, pelaburan ini dijangka membawa kesan berganda kepada ekonomi Malaysia sekitar AS$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 pekerjaan menjelang tahun 2030.

“Hari ini, Google iaitu sebuah syarikat teknologi utama dunia mengesahkan komitmen pelaburan sebanyak USD2 bilion bagi menyokong agenda kerajaan dalam mempercepat dan melicinkan transformasi digital negara.

“Nescaya, ini meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama dalam penggunaan dan perkhidmatan sokongan bagi perkhidmatan berteraskan teknologi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, dalam pertemuan secara maya bersama pengurusan kanan Google pada 6 Mei yang lalu, beliau telah menekankan selain dukungan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara umum, kerjasama strategik perlu ditumpukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pertanian.

Ini penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan kemahiran dan pendekatan berteraskan teknologi terkini, ujar beliau. – MalaysiaGazette

Google labur AS$2 bilion untuk pusat data dan rantau awan di Malaysia