Gambar hiasan

AMPANG – Seorang tukang masak warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menggesel kemaluan pada seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah medan selera pada minggu lalu.

Tertuduh, K. Senthilnathan, 34, membuat pengakuan tersebut selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut fakta pertuduhan, lelaki warga asing itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan tempatan itu di sebuah medan selera yang terletak di Pandan Indah, Ampang pada jam 5 petang, 20 Mei lalu.

Tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim yang mengendalikan pendakwan kes ini mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 termasuk syarat tambahan penyerahan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan kes tersebut.

“Yang Arif, ibu mangsa merupakan peniaga berdekatan gerai tempat tertuduh bekerja, jadi mereka mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela yang mewakili tertuduh, S.Selvaakumaran merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin berkadar minimum atas alasan mempunyai tanggungan.

“Dia perlu menanggung anaknya yang berusia dua tahun, malah mempunyai masalah kesihatan, termasuk ibu bapa yang uzur tinggal di India,” ujarnya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Norshila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan dua penjamin, selain memerintahkan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan kes ini.

Mahkamah menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Ahad lalu, Polis Daerah Ampang melaporkan tangkapan ke atas pelayan kedai makan warga asing selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di Pandan Indah, Ampang.

Polis berkata, pengadu kes berkenaan seorang wanita mendakwa seorang lelaki telah membuat sesuatu terhadap anaknya yang sedang bermain ketika kejadian itu.

Hasil pemeriksaan lanjut turut mengesahkan terdapat kemerahan pada bahagian luar kemaluan mangsa ekoran perbuatan suspek tersebut.

Bertindak atas laporan polis ibu mangsa, polis menahan suspek dan direman untuk membantu siastan lanjut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast