SEPANG – Dua suspek keldai dadah yang sudah ulang alik sebanyak tujuh kali dalam tempoh tiga bulan sejak Mac lalu ke Kuala Lumpur akhirnya tumpas semalam.
Kali ini mereka cuba menyeludup keluar dadah syabu seberat 38.8 kilogram menerusi Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Kedua-dua suspek lelaki yang berasal dari Sarawak itu berjaya diberkas polis selepas mesin pengimbas di Balai Pelepasan Domestik di lapangan terbang itu mengesan isi kandungan mencurigakan dalam bagasi mereka.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pada 30 Mei lalu sekitar 4 pagi, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Terminal 2 KLIA Bersama polis bantuan Malaysia Airports Berhad (MAB) berjaya melakukan tangkapan ke atas kedua-duanya.
“Pada awalnya, beg bagasi suspek yang diimbas dalam mesin di kaunter telah dikesan sesuatu mencurigakan sebelum polis dipanggil untuk tindakan lanjut.
“Hasil pemeriksaan polis ke dalam bagasi milik suspek polis menemui 37 bungkusan dibaluti plastik lutsinar disyaki syabu seberat 38.8 kilogram dianggarkan bernilai RM1.24 juta,” katanya dalam siding media kejayaan bersama Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shariat di Pusat Pengurusan Lapangan Terbang (AMC) KLIA1 petang tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam.
Tambah Hussein, susulan tangkapan pertama itu polis kemudian telah menyerbu sebuah bilik hotel yang terletak di kawasan KLIA sebelum menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai keldai dadah daripada sindiket sama.
Kedua-dua suspek berusia 34 dan 36 tahun yang berstatus juruteknik dan penganggur dipercayai menunggu giliran jadual penerbangan masing-masing bersama bekalan yang mahu diseludup keluar ke Sarawak.
“Siasatan lanjut kami mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menerbangkan keldai dadah dari Sibu, Bintulu dan Miri, Sarawak ke Kuala Lumpur semata-mata untuk menerima bekalan dadah itu dengan bayaran upah RM2,500 seorang untuk setiap trip.
“Kemudian sindiket itu akan membelikan tiket penerbangan serta menyediakan hotel penginapan untuk kedua-dua keldai dadah itu untuk membawa pulang bekalan bahan larangan itu kembali ke Sarawak sebelum ahli sindiket akan menunggu di Sarawak untuk menerima bekalan tersebut.
“Kami menganggap mereka menggunakan pelbagai taktik penyeludupan yang berkemungkinan sudah beberapa kali berjaya seludup keluar dalam tujuh percubaan sebelum ini sejak Mac lalu membuatkan mereka cuba kali kelapan dengan yakin tetapi ‘kebodohan’ mereka akibatkan terjerat kepada polis,” katanya lagi.
Justeru Hussein juga memberitahu semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek memiliki empat rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing mengesahkan positif methamphetamine.
Selain itu, katanya, siasatan lanjut juga mendapati bekalan syabu itu diperoleh dari sebuah negara jiran di Utara Semenanjung dan polis sedang melakukan siasatan rapi bagi menentukan sumber asal bekalan itu diperolehi termasuk berkemungkinan dari Kawasan Segi Tiga Emas (Thailand, Myanmar dan Laos).
“Kedua-dua suspek itu kini berjaya direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 5 Jun ini di Bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau 12 sebatan jika disabit kesalahan.
“Oleh kerana kes penyeludupan dadah ke negeri Sarawak berlaku agak banyak kali ini, maka kita akan mempertingkat kawalan dan pemantauan keselamatan di terminal 1 dan 2 KLIA bagi mengekang segala percubaan pada masa akan datang.
“Pada masa yang sama, kita memberi amaran kepada mereka yang berniat untuk menjadi keldai dadah secara membuta tuli sama ada secara sedar atau pun tidak lebih baik fikir banyak kali sebelum terlibat kerana anda akan dipantau dan pasti akan terperangkap kepada polis.
“Justeru, orang ramai juga janganlah terpedaya dengan sebarang janji manis sindiket kononnya anda selamat dan tidak akan tertangkap membawa bekalan bahan bahaya itu kerana jika tertangkap kesannya adalah sangat parah,” tegasnya.-MalaysiaGazette