KUALA LUMPUR – Semua pegawai polis yang terlibat dalam insiden anggota pengiring memukul pemandu e-hailing yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) akan dipanggil ke Bukit Aman dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia bagi membantu siasatan menyeluruh dilakukan dan proses memberi keterangan.
“Keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan bahawa tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, tiada kompromi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap pegawai yang didapati bersalah dalam insiden berkenaan.
Tambah beliau, PDRM komited memastikan keadilan dan keselamatan rakyat khususnya golongan OKU terjamin.
Terdahulu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian seorang pengiring keselamatan yang didakwa memukul pemandu e-hailing OKU pada Selasa lalu.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, tidak sesekali membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku. – MalaysiaGazette