KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes membabitkan empat anggota polis yang didakwa menerima suapan RM11,000 supaya tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita Bangladesh yang memiliki dokumen palsu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Diana Norazwa memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah menyerahkan sembilan dokumen tambahan kepada pihak pembelaan.

“Bagaimanapun, saya difahamkan ada satu sahaja dokumen lagi ynang perlu diserahkan iaitu laporan forensik yang masih belum diterima lagi.

“Dokumen satu lagi (laporan forensik) akan diserahkan dengan segera setelah laporan forensik  diterima nanti,” katanya.

Berikutan itu, beliau memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu sebutan semula serahan dokumen tambahan.

Hakim Suzana Hussin menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula serahan dokumen tambahan kes tersebut.

Pada 26 Februari lalu, Koperal Muhammad Fariduddin Ibrahim, 43, Sarjan Mohd Hashifuddin Md Nadirin, 39, Lans Koperal Mohamad Suhairi Hashim, 30, dan Koperal Mathew Kilat, 36, mengaku tidak bersalah.

Mengikut fakta pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan niat bersama menerima suapan iaitu wang tunai RM11,700 daripada warga Bangladesh Md Masud Abdul Latif sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Baishaki Aktar Mim kerana memiliki pasport palsu di Balai Polis Jalan Tun Razak pada 9 malam, 21 Ogos lepas.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Keempat-empat tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersama-sama menerima wang tunai RM11,700 daripada lelaki sama tanpa balasan, dan mereka tahu ia ada kena mengena dengan kerja-kerja rasmi mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Afiqah Ab Razak manakala Muhammad Fariduddin diwakili peguam AS Dhaliwal, Mohd Hashifuddin diwakili peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed manakala Mohamad Suhairi diwakili peguam, Salim Bashir dan Mathew tidak diwakili peguam. – MalaysiaGazette