KUALA LUMPUR – Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, 46, mengesahkan sudah bercerai dengan Azrene Soraya Abdul Aziz atau Azrene Ahmad, beberapa bulan lalu, selepas 18 tahun hidup bersama.
Mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan media, Fazley yang popular dengan lagu Asmara Ini memberitahu, keputusan bercerai diambil atas persetujuan bersama.
Fazley atau nama sebenar, Ahmad Fazley Yaakob berharap penjelasan itu dapat menamatkan spekulasi mengenai hubungannya dan bekas isteri.
“Semoga dengan adanya pengumuman ini, tidak akan ada lagi kekeliruan mengenai hubungan kami berdua selepas ini,” katanya.
Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 2006. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat anak, Ahmad Fariedz Shah, 15; Ahmad Fieradz Shah, 14; Ahmad Fierudz Shah, 13, dan Alayna Selma, 7. – MalaysiaGazette