Thursday, October 17, 2024
Home Sukan SPM 2023: Ketua Pasukan Perak FC IV dapat 9A

SPM 2023: Ketua Pasukan Perak FC IV dapat 9A

Foto FB Perak FC.

KUALA LUMPUR – Ketua Pasukan Perak FC IV, Mohamad Nasrudin Ahmad Hayeekaji mendapat pujian netizen kerana berjaya mendapat 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang diumumkan baru-baru ini.

Ia selepas laman sosial Perak FC merakamkan ucapan tahniah di atas kejayaan ke atas  bekas pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Jitra di Kedah.

“Tahniah buat Ketua Pasukan Perak FC IV, Mohamad Nasrudin Bin Ahmad Hayeekaji kerana berjaya mendapat 9A dalam Peperiksaan SPM 2023.

“Ini merupakan satu contoh yang terbaik buat pemain bola sepak, bukan saja cemerlang diatas padang namun cemerlang juga didalam akademik.

“Semoga terus maju jaya kami ucapkan!” tulis hantaran itu.

Kejayaan Nasrudin turut mencuri tumpuan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengucapkan tahniah kepada pemain berusia 18 tahun itu.

“Terbaik dan tahniah yob muda! Cemerlang dalam kedua-dua bidang sukan mahupun akademik. Semoga terus maju, Saudara Nasrudin,” kata Saarani dalam hantaran di Facebook miliknya.

Sementara itu, netizen menyifatkan Nasrudin telah menunjukkan satu contoh yang terbaik buat pemain bola sepak kerana bukan sahaja cemerlang di atas padang namun bijak dalam akademik.

Pencapaian luar biasanya itu telah membuktikan bahawa dedikasi dan disiplin dalam sukan boleh berjalan seiring dengan kejayaan akademik.

Sebagai seorang ketua pasukan, Nasrudin tidak hanya menjadi inspirasi kepada rakan sepasukannya, tetapi juga kepada semua pelajar dan atlet muda di seluruh negara. – MalaysiaGazette