KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sedia untuk membantu pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC yang sedang menghadapi masalah tunggakan gaji.
Kerajaan negeri menerusi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengadakan pertemuan dengan KDA FC bagi membincangkan mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku ketika ini.
Muhammad Sanusi turut bersimpati dengan nasib pasukan dan pemain yang kini dilihat terumbang-ambing dengan tiada jalan penyelesaian yang berjaya dicapai antara dua pihak.
“Ia urusan syarikat swasta yang kendalikan KDA FC. Saya hanya boleh pertimbangkan untuk campur tangan atau tidak, setakat ini tiada pemain datang jumpa saya. Mereka hanya luah melalui media sahaja,” jelasnya.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau juga ada berjumpa dengan pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar namun tidak memperincikan butiran berkenaan.
“Ada Tan Sri Daud hubungi dua tiga bulan lepas dan selalu juga jumpa. Tambahan pula kita masih ada komitmen lama yang ditanggung ketika terajui KFA sebelum ini, KFA masih tanggung bayaran ansuran hutang lama dengan badan berkanun.
“KFA masih bayar untuk lesen 2024 pun KFA ada bantu,” katanya. – MalaysiaGazette