Pemandu Grab yang juga seorang OKU, Ong Ing Keong diiringi peguamnya hadir bagi memberi kenyataan berhubung dakwaan dipukul pegawai pengiring di IPD Brickfields, Kuala Lumpur. Foto AIZAR ZAINAL, 01 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Polis perlu mengambil serius terhadap laporan polis yang dibuat seorang orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa dirinya diserang seorang pengawal keselamatan kepada orang kenamaan pada 28 Mei lalu.

Peguam, N. Surendran berkata, setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan keselamatan seperti mana dijamin Perlembagaan.

“Di negara kita, ada peraturan dan undang-undang mesti ditegakkan, ia menjadi tulang belakang kepada pembinaan negara ini.

“Perlembagaan kita, beri jaminan perlindungan sama rata kepada setiap rakyatnya tidak kira betapa besarnya (darjat) mahu pun rakyat biasa.

“Setiap orang mesti dilayan dengan sama rata, secara telus, adil, tidak berpihak dan segera, asas ini mesti ditegakkan,” katanya.

Terdahulu Surendran menemani anak guamnya, Ong Ing Keong, 46, untuk dirakam keterangan hampir tiga jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Terdahulu, Ing Keong hadir bersama seorang lelaki yang membantunya ketika insiden itu dengan menaiki sebuah kenderaan Toyota Vios berwarna perak kira-kira 11.50 pagi tadi.

Selain Surendran, Keong turut diiringi beberapa individu dari pejabat Lawyer for Liberty (LFL) termasuk Latheefa Koya dan seorang jurubahasa.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki kurang upaya bisu dan pekak didakwa dipukul seorang pengawal pengiring kepada orang kenamaan di sebuah hotel dekat KL Sentral pada 28 Mei lalu.

Mangsa dipukul ketika berada di lobi hotel berkenaan selepas menerima tempahan untuk mengambil empat penumpang di hotel berkenaan pukul  11.40 pagi.

Ketika ditanya tentang kehadiran Keong ke IPD Brickfields, beliau berkata, anak guamnya disoal siasatan dan diminta mengesahkan beberapa perkara mengenai insiden itu.

“Layanan yang diberikan sangat baik, pegawai polis yang menyoal anak guamnya sangat profesional.

“Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah berpangkat Asisten Superintendan dari Jabatan Siasatan Jenayah yang mengambil keterangan,” katanya.

Sementara itu, Surendran turut memberitahu, polis memberi jaminan kepada pihaknya untuk menyiapkan kertas siasatan kes itu selewat-lewatnya minggu depan.

“Mereka kata akan lengkapkan siasatan secepat yang mungkin, selewat-lewatnya minggu depan. Kertas siasatan akan dihantar kepada Peguam Negara, itu yang mereka beritahu kami,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemandu e-hailing OKU beri keterangan kepada polis hampir tiga jam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.