Mahmud Abdul Jumaat.

PETALING JAYA – Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditahan semalam dan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan peguam kepada pasangan berkenaan, Mahmud Abdul Jumaat kepada wakil media di sini hari ini.

Menurutnya, penahanan itu dibuat susulan ada penemuan baharu dalam siasatan yang dilakukan pihak berkuasa berdasarkan percakapan yang diambil daripada pasangan terbabit sebelum ini.

“Buat masa ini, kita tak boleh buat sebarang spekulasi. Bagaimanapun semua diharap dapat bersabar dan mendoakan agar keluarga kuat dengan ujian ini.

“Buat masa ini dia masih dalam tempoh reman dan reman ini untuk melengkapkan siasatan dan kita tidak tahu lagi siapa yang akan dituduh dan bila siasatan lengkap kita akan tahu siapakan suspek utama dalam kes ini,” katanya.

Menurut Mahmud, pasangan terbabit sangat terkejut dengan penahanan yang dibuat kerana ia merupakan satu perkara yang tidak dijangka.

Beliau sendiri terkejut dengan penahanan itu dan yakin ia turut mengejutkan seluruh negara.

“Saya pohonlah agar semua termasuk netizen berdoa agar keluarga kuat menerima perkhabaran ini,” ujarnya.

Tambah beliau, polis boleh mendapatkan reman selama tujuh hari untuk melengkapkan siasatan dan percaya ruang yang seluas-luasnya perlu diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara terus dan terperinci bagi mendapatkan keadilan.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya dalam tempoh tujuh hari polis tidak dapat melengkapkan sisatan mereka boleh mendapatkan perintah bagi melanjutkan reman.

Terdahulu, pasangan itu tiba kira-kira pukul 8.50 pagi menaiki kenderaan polis sambil beberapa ahli keluarga mereka yang menanti di pekarangan mahkamah dilihat sejak awal pagi.

Mereka kemudiannya dibawa masuk ke dalam kamar mahkamah dengan diiringi sekumpulan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) kira-kira pukul 9 pagi.

Mahkamah memberikan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Jumaat bagi polis menjalankan siasatan lanjut terhadap kes yang kini membabitkan pasangan terbabit.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret, Azura Mohd Saad pagi ini.

Media melaporkan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai di sini pada Disember tahun lalu ditahan semalam.

Kedua-dua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Disember lalu, kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pukul 10 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan