Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan mendapat kebenaran menahan reman selama tujuh hari terhadap pasangan suami isteri yang juga ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Martiin yang mati dibunuh Disember tahun lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perintah reman tersebut diperoleh dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi ini.

Katanya, pasangan itu ditahan semalam pada pukul 10.05 pagi oleh Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.

“Kedua-duanya direman pada hari ini di Mahkamah Petaling Jaya dan dibenarkan tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Jun 2024 bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan peguam yang mewakili pasangan terbabit memberitahu media di mahkamah tersebut bahawa perintah reman terhadap pasangan itu diperoleh pihak berkuasa susulan terdapat penemuan baharu dalam siasatan yang dilakukan.

Bagaimanapun, beliau menggesa semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan kerana masih lagi dalam siasatan.

Beliau turut mengharapkan doa daripada orang ramai agar pasangan terbabit berserta ahli keluarga mereka mendapat kekuatan susulan penahanan yang tidak dijangka itu

Pada 6 Disember lalu, kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam.

Mayat kanak-kanak itu ditemukan di kawasan saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai oleh orang awam yang menyertai operasi mencari mangsa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ibu bapa Zayn direman 7 hari, siasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan