Arshad Hassani

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegur Kerajaan Negeri Selangor berhubung penganugerahan kontrak melibatkan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) yang mencetuskan isu konflik kepentingan.

Ahli Majlis Pimpinan AMK Malaysia, Arshad Hassani berkata, Kerajaan Negeri Selangor seharusnya lebih cermat dalam urusan penganugerahan kontrak bagi menjamin keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap tadbir urus Kerajaan Perpaduan.

Tegasnya, Kerajaan Negeri Selangor perlu seiring dengan  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menekankan prinsip amanah dan tata kelola yang baik khususnya dalam urusan yang melibatkan wang rakyat.

“Lantikan syarikat Asia Mobility yang diumumkan baru-baru ini bagi melaksanakan Projek Rintis DRT telah mengundang pelbagai persoalan dan juga kritikan daripada pelbagai pihak.

“Walaupun proses lantikan telah berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan, elemen conflict of interest perlu turut diberikan perhatian bagi mengelakkan daripada timbulnya persepsi yang tidak betul.

“Oleh yang demikian, pengamalan tata kelola yang baik bukan sekadar perlu dilaksanakan, tetapi dilihat dan ditunjukkan dengan jelas bahawa ia dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Ketua AMK Segambut itu berkata, Kerajaan Negeri Selangor seharusnya menangani persoalan yang dibangkitkan oleh orang awam serta masyarakat sivil berkaitan isu ini dengan baik.

Kerajaan Negeri Selangor juga katanya, perlu mengelakkan perkara yang membabitkan integriti daripada berulang selain perlu lebih cermat dalam urusan yang melibatkan dana rakyat.

Projek DRT mendapat perhatian umum selepas salah satu daripada syarikat terbabit diterajui suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah yang juga Penolong Bendahari Kebangsaan DAP bagaimanapun mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kontrak yang diterima oleh suaminya menerusi Kerajaan Selangor.

Dalam perkongsian di Instagram Story, Hannah mahu melihat kebenaran berhubung isu itu terungkai.

SPRM menerima beberapa aduan baharu berkaitan isu kontrak yang diterima oleh suami menteri itu, Ramachandran Muniandy yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility.-MalaysiaGazette