Pembuangan cat menjadi punca air longkang bertukar biru dikesan di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Omboh, Klang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR – Pembuangan cat menjadi punca air longkang bertukar biru dikesan di sebuah kawasan perindustrian di Jalan Omboh, Klang, Selangor, semalam.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan berkata, pengesanan aliran warna air itu dilakukan di kawasan Jalan Sellathevan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Susulan itu, pasukan LUAS dikerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan bagi menjejaki punca aliran air berwarna biru sebelum menemukan punca di kawasan perindustrian Jalan Omboh.

“Semakan lanjut LUAS mendapati lopak air di kawasan tersebut berwarna biru dan aliran telah memasuki longkang berhampiran dan seterusnya mengalir ke dalam Sungai Kandis.

“LUAS telah melakukan pensampelan kualiti air dan sampel tersebut dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk adianalisis,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Menurut LUAS, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999 di atas kesalahan mencemarkan sumber air.

LUAS telah berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Bandaraya Shah Alam bagi tindakan penguatkuasaan mengikut bidang kuasa masing-masing. – MalaysiaGazette