TOKYO – Gempa bumi kuat dengan 5.9 Tiaskala Richter menggegarkan kawasan tengah Jepun yang dilanda gegaran dahsyat pada Januari, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Namun, setakat ini tiada ancaman tsunami.
Tiga rumah runtuh tetapi tiada laporan kematian atau kecederaan, kata Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana selepas gempa bumi cetek melanda Semenanjung Noto pada jam 6.31 pagi (2131 GMT Ahad).
Penyiar awam NHK menunjukkan rakaman sekurang-kurangnya sebuah rumah rosak dengan dinding rosak teruk dan sebahagian bumbung jatuh ke tanah.
Dalam pada itu, tiada yang abnormal dikesan di loji nuklear Kashiwazaki-Kariwa atau Shika di wilayah di pantai Laut Jepun, kata Pihak Berkuasa Kawal Selia Nuklear Jepun.
“Kawasan itu telah aktif secara seismik selama lebih tiga tahun, termasuk gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter pada 1 Januari tahun ini. Itu dijangka berterusan untuk masa hadapan, jadi teruskan berhati-hati,” kata JMA.
Agensi itu juga memberi amaran tentang tanah runtuh dan batu jatuh di wilayah itu, terutama selepas hujan atau gempa bumi selanjutnya.
Gegaran pada hari Isnin mencetuskan penggera amaran telefon pintar dan diikuti oleh beberapa gegaran susulan yang lebih kecil.
Pada Hari Tahun Baharu 2024, sekurang-kurangnya 260 orang maut selepas gempa bumi besar melanda semenanjung, termasuk 30 kematian “berkaitan gempa” serta mereka yang terkorban secara langsung dalam bencana itu.
Gempa bumi 1 Januari dan gegaran susulannya meruntuhkan bangunan, menyebabkan kebakaran dan memusnahkan infrastruktur pada masa keluarga menyambut tahun baharu.
JMA berkata, gempa hari Isnin adalah berkaitan dengan Januari, dengan pusat gempa dan mekanisme seismik yang serupa.
Terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang pinggir barat “Ring of Fire” Pasifik, Jepun ialah salah satu negara yang paling aktif secara tektonik di dunia.
Kepulauan itu, yang menempatkan kira-kira 125 juta orang, mengalami sekitar 1,500 gegaran setiap tahun dan menyumbang kira-kira 18 peratus daripada gempa bumi di dunia.
Sebahagian besarnya adalah ringan, walaupun kerosakan yang ditimbulkannya berbeza-beza mengikut lokasi dan kedalaman di bawah permukaan Bumi di mana ia menyerang. – Agensi