PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang membina 50 buah bangunan tambahan bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana, seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, semua projek berkenaan dijangka siap pada 2027.

“Seramai 1,925 orang pelajar Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dijangka dapat manfaat daripada projek ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024.

Selain itu menurut beliau, sebanyak 44 buah sekolah baharu akan dibina di seluruh negara, mengikut Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau berkata, pembinaan tersebut akan meningkatkan jumlah bilik darjah bagi MBPK untuk PPKI.

Ujar Wong, ia sekaligus akan memanfaatkan 1,995 orang pelajar kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Ia melibatkan 288 kelas yang mana enam bilik darjah daripada setiap sekolah intuk MBPK,” jelasnya.

Terdahulu, seramai 403 graduan daripada lima buah sekolah dirai dalam Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024 yang berlangsung pada hari ini.

Mengulas lanjut Wong berkata, kebolehpasaran MBPK di sekolah menengak pendidikan khas (SMPK) dan SMPK Vokasional adalah melebihi 95 peratus meningkat daripada sebelum ini iaitu sebanyak 83 peratus.

“Peratus kebolehpasaran tinggi menunjukkan usaha KPM untuk memastikan MBPK terus berdaya saing, berkeupayaan mencapai kesekahteraan diri, memberi sumbangan terhadap keharmonian serta dapat membantu meningkatkan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette