Tertuduh, kerani Razizam dan kontraktor, Kia Seng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menerima rasuah untuk mendapatkan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk berjumlah RM47,000 sejak tujuh tahun lalu.

MELAKA – Seorang kerani dan kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah untuk mendapatkan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk sejak tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Low Kia Seng, 58, dan Razizam Ali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama telah menipu seorang wanita, Seet Xiang Lin, 38, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa mereka boleh membantu mendapatkan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka iaitu Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Perbuatan tidak jujur itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang keseluruhan berjumlah RM47,000 antara 1 Januari 2017 hingga 30 November 2018 ke dalam akaun Public Bank Berhad milik Kia Seng.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang satu tahun sehingga 10 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan untuk setiap tertuduh selain syarat tambahan perlu melapor diri ke pejabat SPRM sekali setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Mohamad Kamarulzaman Jusoh yang mewakili Kia Seng bagaimanapun memohon jaminan rendah kerana anak guamnya telah membayar jaminan RM20,000 bagi kes lain SPRM sejak November 2022.

Selain itu hujahnya, pendapatan tertuduh yang bekerja sebagai kontraktor terjejas kerana pasportnya telah ditahan mahkamah menyebabnya tidak dapat berjumpa dengan kebanyakan pelanggannya di Singapura.

Tertuduh Razizam melalui peguamnya, Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai kerani penjawat awam dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Anak guamnya juga terpaksa bekerja sampingan sebagai pemandu Grab dan perlu menyara isteri serta sempat anak yang masih bersekolah selain menjaga ayah sedang uzur.

Tertuduh juga katanya, telah membayar jaminan RM50,000 bagi kes sebelum ini sejak November 2022 dan mencadangkan jaminan tidak bercagar sebanyak RM10,000.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Elesabet menetapkan jaminan RM30,000 terhadap Kia Seng manakala Razizam dikenakan RM15,000 jaminan bercagar dan RM15,000 tidak bercagar.

Mahkamah turut membenarkan kedua-dua tertuduh dikenakan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula 5 Julai ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette