Tangkap layar penghantar makanan tersalah hantar pesanan kepada pelanggan Muslim.

GEORGE TOWN – Orang Muslim yang termakan daging khinzir secara tidak sengaja atau tanpa mengetahuinya, dianggap tidak berdosa.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, hukum berkenaan adalah berdasarkan kepada dalil al-Quran dan hadis.

“Daging khinzir adalah haram dimakan penganut Islam berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dalam surah al- Baqarah ayat 173 yang membawa maksud ‘diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan haiwan yang disembelih tanpa menyebut nama Allah SWT.

Wan Salim.

“Namun maksud yang sama difahami juga daripada ayat 3 surah al-Maidah, Allah SWT berfirman ‘dan tidaklah berdosa ke atas kamu dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (berdosa) dalam apa yang disengajakan oleh hati kamu. Sesungguhnya Allah maha pengampun dan maha penyayang (Surah al-Ahzab ayat 5).

“Rasulullah SAW juga bersabda ‘sesungguhnya umatku dimaafkan tentang apa yang dilakukan secara tersalah, terlupa dan (apabila) dipaksa melakukan sesuatu (yang haram) (Riwayat Ibnu Majah),” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden seorang kanak-kanak termakan daging babi panggang susulan penghantar makanan (p-hailing) tersilap hantar pesanan.

Difahamkan, keluarga kanak-kanak itu hanya mengetahui makanan tersebut tidak halal selepas melihat bil dalam plastik makanan tersebut.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, ulamak juga menasihatkan, jika seorang Muslim mengetahui bahawa dia sudah termakan daging khinzir dan mampu memuntahkannya maka dia hendaklah berbuat demikian. – MalaysiaGazette