TAPAH – Pemandu dan penumpang hadapan sebuah van cedera selepas kenderaan mereka dipercayai melanggar sebuah lori muatan simen dalam kejadian di Kilometer (KM) 331 Lebuhraya Utara Selatan Plus arah selatan dekat sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 2.59 pagi.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu van jenis Toyota Hiace yang dinaiki 12 orang dan lori jenis Hino yang membawa muatan simen.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan, pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Slim River bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Ketika tiba dilokasi didapati kemalangan melibatkan sebuah van jenis Toyota Hiace melanggar sebuah lori simen serta terdapat 12 orang mangsa iaitu empat lelaki, tujuh wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Anggota kami kemudiannya mengeluarkan dua orang mangsa yang cedera dan tersepit iaitu seorang lelaki serta seorang wanita masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera pada bahagian kepala dan dada itu diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I Zulkafli Hamad tamat sepenuhnya pada jam 4.04 pagi. – MalaysiaGazette