PETALING JAYA – Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita 11,220 unit alat permainan seks (sex toys) bernilai kira-kira RM2 juta yang disimpan dalam sebuah gudang logistik di Shah Alam, Selangor  pada 20 Mei lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan tersebut merupakan yang terbesar setakat ini berbanding rampasan  barang yang sama pada tahun lalu bernilai RM50,000.

Menurut beliau, barangan tersebut dibawa ke gudang logistik untuk simpanan sebelum dijual kepada pemborong tempatan.

“Setakat ini ya, tahun lalu ada satu rampasan sex toys, bernilai RM50,000,” katanya pada sidang media.

Menurut Norlela, barang berkenaan diisytihar sebagai mainan kanak-kanak dalam pengikraran Borang Kastam 1 demi mengelirukan pihak berkuasa.

Norlela berkata, seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun yang berperanan sebagai penyelia gudang telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Beliau kemudiannya dilepaskan dengan jaminan,”katanya yang turut mengesahkan kertas siasatan kes itu telah dibuka.

Norlela berkata, sehingga kini kastam masih menyiasat dalang utama sindiket yang membawa masuk alatan permainan itu ke dalam negara.

Sementara itu katanya, sebanyak 3,506 liter minuman keras dan 355,100 batang rokok berjaya disita menerusi operasi yang sama.

Katanya, rampasan dibuat melalui 40 serbuan di beberapa premis sekitar Lembah Klang membabitkan anggaran nilai dan cukai sebanyak RM475,276.

Tambahnya, serbuan dibuat dalam tempoh 13 hingga 24 Mei.

“Susulan dari sebuan dan pemeriksaan yang dijalankan sepanjang tempoh operasi, seramai 16 Orang Yang Disyaki (OYD) telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes ini masih dalam siasatan untuk mengesan modus operandi penyeludupan yang dilakukan dan tindakan selanjutnya.

“Sebanyak 26 kertas siasatan telah dibuka bagi kesalahan tersebut,” katanya.

Ujar Norlela, kes rampasan mainan dewasa, rokok dan minuman keras tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu larangan import yang tertakluk di bawah Seksyen 135(1)(d). -MalaysiaGazette