Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bercakap pada Sidang Media berkenaan Majlis Pengumuman Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 5 JUN 2024

PUTRAJAYA – Kerajaan akan menyatakan pendirian tegas terhadap aplikasi X yang membenarkan penggunanya memuat naik kandungan lucah di platform media berkenaan.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pendirian menolak perkara itu akan disampaikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada pengendali platform berkenaan.

“Saya percaya Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus akan sampaikan (penegasan kerajaan) untuk pastikan semua platform bukan hanya di X.

“Tapi semua platform kena faham bahawa beberapa perkara termasuk judi dalam talian, bahan lucah dan juga perkara yang tidak dibenarkan berdasarkan undang-undang negara kita akan dipatuhi di mana-mana platform termasuk yang berlaku di X,” katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet hari ini.

Fahmi berkata demikian mengulas kenyataan pemilik aplikasi X, Elon Musk yang berkata, platform X akan membenarkan penggunanya memuat naik kandungan lucah di platform media berkenaan.

Kemas kini terbaharu itu bukan sahaja membenarkan pengguna memuat naik kandungan lucah malah mereka juga boleh mengedar dan menggunakan bahan itu selagi ia mendapat persetujuan pihak pelbagai.

Menurut dasar itu, pendedahan kepada bahan grafik lucah akan dihadkan kepada kanak-kanak dan pengguna dewasa yang memilih untuk tidak melihatnya. – MalaysiaGazette