Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil memaklumkan Kabinet turut maklum akan insiden kontena tertera logo ZIM, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel dikesan cuba memasuki negara ini melalui laluan darat di Perlis.

Justeru itu, Kabinet telah memutuskan untuk tidak membenarkan sebarang kontena berkaitan rejim Israel untuk memasuki negara ini.

“Sebarang kapal daripada syarikat Zim tidak dibenarkan masuk ke pelabuhan-pelabuhan di Malaysia manakala kontena juga tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Justeru itu, Fahmi berkata, pemantauan akan terus dibuat pihak berkuasa terutamanya di sempadan bagi memastikan pekara sama tidak berulang.

“Bagaimanapun, dalam beberapa keadaan kadang kala bukan kapal Zim yang membawa kontena kadang-kadang kontena ini disewakan kepada syarikat-syarikat lain untuk dibawa atas kapal-kapal mereka.

“Tapi pemantauan dibuat secara rapi dan telah diputuskan tidak dibenarkan kontena-kontena ini dibawa masuk ke dalam negara, jadi yang berlaku di sempadan Perlis itu adalah selaras dengan dasar kerajaan tidak membenarkan ia masuk,” kata Fahmi lagi.

Semalam, satu lagi kontena tertera logo ZIM, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel dikesan dan kali ini cuba memasuki negara ini melalui laluan darat di Perlis.

Bagaimanapun lori kontena membawa muatan dagangan ayam sejuk beku yang baharu tiba dari sempadan Malaysia-Thailand itu berjaya dihalang Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum diarah berpatah balik dengan segera.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, perkara itu dikesan kira-kira 12 tengah hari Ahad lalu selepas lori kontena terbabit melalui terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan siasatan segera dilakukan mengenai dakwaan kewujudan kontena syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM, di sebuah pelabuhan di Iskandar Puteri di Johor.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Israel.

Ia susulan isu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad mengenai keresahan orang ramai berhubung kewujudan kontena dari Israel di pelabuhan terbabit. – MalaysiaGazette