Foto FB MFL.

KUALA LUMPUR – Badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) mengubah semula waktu sepak mula bagi aksi Piala FA antara Kedah Darul Aman FC dengan Bukit Tambun FC pada 14 Jun ini selepas menerima kecaman hebat daripada penyokong.

Sebelum ini, perlawanan tersebut dijadualkan pada pukul 6.30 petang namun MFL kemudiannya menukar semula waktu sepak mula kepada pukul 9 malam.

“Waktu sepak mula perlawanan Kedah Darul Aman FC melawan Bukit Tambun FC pada 14 Jun 2024 (Jumaat) dikemaskini dari pukul 6:30 petang ke pukul 9 malam,” kata MFL dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut MFL, keputusan itu diambil selepas mengambil sensitiviti masa perlawanan yang akan merentasi waktu solat Maghrib.

Sebagai rekod, Kedah dan Bukit Tambun kedua-duanya sebelum ini setuju untuk perlawanan diadakan pada 6.30 petang.

Jika diadakan pada waktu asal, ia berpotensi untuk menyukarkan pemain, staf dan penyokong untuk menunaikan solat tersebut kerana waktunya yang singkat ditambah rehat separuh masa terhad pada 15 minit.

“Walaupun waktu sepak mula sebelum ini telah dipersetujui oleh kedua-dua kelab berkenaan, kemaskini ini adalah merujuk kepada sensitivi waktu solat maghrib di Kedah,” ujar MFL.

Keputusan mengubah waktu perlawanan itu disambut baik oleh Kedah sebagai tuan rumah perlawanan pertama pusingan 16 pasukan antara kedua-dua kelab.

Kedah mengatakan mereka meminta kepada MFL untuk menimbang semula keputusan mengadakan perlawanan pada 6.30 petang sebelum ini demi keselesaan penyokong.

“Terima kasih MFL! Pindaan masa perlawanan dari 6.30 petang ke 9.00 malam disahkan MFL sebentar tadi selepas KDA FC membuat permohonan untuk meminda masa perlawanan untuk menghormati masa dan memberi laluan kepada penyokong Sang Kenari menunaikan Solat Maghrib,” kata Kedah dalam kenyataan mereka.

Dalam pada itu, satu lagi perlawanan yang dijadualkan pada 6.30 petang melibatkan Kuala Lumpur City FC dengan Kuching City FC kekal seperti biasa. – MalaysiaGazette