Tan Cheng Hoe.

KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dilaporkan sudah berpisah dengan kelab Thailand, Police Tero selepas pasukan itu tersingkir ke divisyen dua pada musim hadapan.

Media di Thailand melaporkan, Police enggan untuk terus menggunakan khidmat Cheng Hoe dan mereka mahu melantik ketua jurulatih baharu dalam usaha untuk kembali ke saingan Thai League 1.

Sepanjang bekas pengendali Selangor FC itu memegang jawatan sebagai pengendali pasukan, Police Tero meraih dua kemenangan, tiga seri dan enam kekalahan sekaligus menamatkan saingan di tangga kedua tercorot dalam carta liga.

Sebagai rekod, pasukan yang pernah diperkuatkan oleh Dominic Tan dan Mohamadou Sumareh itu hanya mengutip 28 mata daripada 30 perlawanan liga pada musim 2023/2024.

Sebelum ini, Cheng Hoe sendiri menyuarakan dia mahu kekal di Thailand meskipun Police Tero bakal beraksi di saingan divisyen dua kerana ini merupakan pengalaman pertama beliau menguruskan kelab di luar Malaysia.

Namun menafikan dakwaan pelbagai pihak yang menyifatkan pasukan Police Tero sekadar tempat ‘transit’ sebelum kembali semula ke Liga Malaysia.

“Segala khabar angin tidak benar. Ini bukan ‘transit’.

“Ia adalah keputusan yang sangat sukar kerana RMS (Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah), pemain serta barisan jurulatih Selangor memberi sokongan dan saya mengharungi musim 2023 yang hebat.

“Tawaran Polis Tero datang secara tiba-tiba. Pastinya mencabar buat saya, tetapi memang sentiasa menjadi impian saya untuk bekerja di luar negara.

“Dengan restu RMS, saya menyertai Polis Tero. Saya harap ini juga akan membuka pintu kepada lebih ramai jurulatih Malaysia (untuk bekerja di luar negara),” kata Cheng Hoe dipetik dari laporan media. – MalaysiaGazette