MELAKA – Polis menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud dengan pendapatan sehingga RM3,000 sehari susulan penahanan tujuh warga tempatan di sebuah pangsapuri di Kota Laksamana, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam serbuan pukul 5 petang itu, enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 16 hingga 26 tahun ditahan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati, kediaman yang dijadikan pusat operasi panggilan sejak tiga minggu lalu itu menyasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa.
“Kumpulan ini mengiklankan tawaran kerja di dalam laman sosial Facebook (FB) yang meminta mangsa menekan pautan Whatsapp untuk menghubungi mereka.
“Mangsa kemudian akan berkomunikasi dengan ‘admin’ untuk mengajar cara-cara melakukan pekerjaan ‘like & share’ di laman web tertentu untuk meningkatkan rating barangan,” katanya, di sini, hari ini.
Tambahnya, mangsa akan diarahkan membuat 50 tugasan itu untuk memperolehi komisyen di dalam sistem bernilai antara RM12 hingga RM60 bagi setiap tugasan.
“Disebabkan terpengaruh dengan komisyen lumayan itu, mangsa akan membuat bayaran ke sistem e-wallet untuk menjalankan tugasan.
“Sindiket berkenaan akan memberikan resit yang telah diubah suai bagi meyakinkan mangsa kononnya pembayaran komisyen telah dibuat,” tambahnya.
Christopher menambah, dengan kejayaan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka berjaya menyelesaikan 10 kes penipuan sepanjang tahun ini dari pelbagai kontinjen melibatkan kerugian berjumlah lebih RM132,390.
Jelasnya, semua suspek diteman selama empat hari sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette