Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2024 di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 07 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Golongan wartawan boleh membantu masyarakat untuk bersikap lebih empati terutama terhadap isu yang membabitkan agama dan kaum.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap empati yang ditonjolkan oleh pemikir serta tokoh filasuf (ahli falsafah) terkemuka Jepun Prof Toshihiko Izutsu adalah sesuatu yang boleh dicontohi.

“Di negara kita harus usahakan, di mana lagi boleh kita rayu kelompok mana paling mampu merubah, membantu mengangkat martabat keihsanan adalah wartawan.

“Yang mempunyai tanggungjawab dalam menyampaikan empati, boleh berbeza pendapat tapi dalam faham orang lain, dia mesti empati, mesti ada keinginan,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan Malaysia 2023 di ibu negara, malam ini.

Menurut Anwar, Izutsu yang turut menterjemah Al-Quran ke bahasa Jepun berkata, jika hendak menghargai orang lain, budaya lain, agama lain perlu ada empati.

“Ini yang tidak ada dalam dunia kita ini. Kita lupa yang menjadikan dia (kaum) itu mengangkat kedudukan, budaya, bahasa dan warna kulit mereka adalah Allah. Dan mereka lupa ada tunggak dalam al-Quran (mengenai kaum).

“Jadi kata Izutsu dalam soal pelbagai kaum, agama, fahaman. Empati itu kena ada. Kerana kita ini manusia maka nilai kemanusiaan itu mesti ada,” kata Anwar.

Beliau menyampaikan amanat kepada 900 tetamu yang sebahagian besarnya terdiri daripada pengarang kanan dan wartawan organisasi media

Dalam ucapannya, Anwar sekali lagi memberi jaminan bahawa kerajaan pimpinannya akan terus memberi kebebasan kepada media selaras dengan prinsip demokrasi.

Bagaimanapun, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu 3R yang membabitkan kaum, agama dan bangsa.

“Saya beri jaminan bahawa negara ini harus mekar dan matang sebagai demokrasi. Kita tak boleh beruntur daripada iltizan dan komitmen kita daripada itu.

“Tapi negara ini juga mempunyai masalah yang besar dan isu-isu yang menghangatkan suhu politik yang menggunakan hal hal yang dibahaskan setengah abad atau sebelum ini iaitu soal kaum, berasaskan fakta tak apa tapi kalau mengugut kestabilan tidak boleh,” tegas Anwar.

Malaysian Press Institute (MPI) menerima 488 penyertaan bagi anugerah Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) 2023 .

Sementara itu, Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, jumlah penyertaan itu tertinggi direkodkan pihaknya sejak anugerah terbabit diperkenalkan pada 1980.

Beliau berkata, bilangan penyertaan diterima untuk 2023 itu juga meningkat 21 peratus berbanding 386 penyertaan pada tahun sebelumnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast