KUALA LUMPUR – Masalah anjing dan monyet liar di sekitar Bestari Jaya termasuk kampus Universiti Selangor (Unisel) mengundang kebimbangan orang ramai khususnya masyarakat setempat.
Difahamkan, kebanyakan anjing liar ini seringkali dilihat berkeliaran di tepi jalan dan ada kalanya mengejar penunggang motosikal yang melalui kawasan tersebut.
Lebih mengerikan apabila anjing dan monyet liar ini memasuki kawasan Unisel sehingga ke asrama pelajar untuk mencuri makanan.
Seorang ibu memberitahu wartawan Malaysia, kehadiran haiwan liar ini memberi mimpi ngeri kepada anaknya, seorang penuntut Unisel apabila dikejar baru-baru ini.
Kejadian itu cukup menakutkan anak perempuannya yang cedera ketika dikejar anjing.
“Anak saya waktu itu sedang menjalankan projek fakulti apabila dikejar seekor anjing, anak saya terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian tapak tangan, siku, kedua belah lutut dan pinggang,” katanya.
Wanita itu tidak menolak, kehadiran anjing-anjing liar itu disebabkan ada penuntut yang memberi makan kepada haiwan berkenaan yang berkeliaran di dalam kawasan kampus.
Lantaran itu, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius ancaman anjing dan monyet liar di kawasan berkenaan.
“Anjing-anjing ini sudah masuk ke dalam kawasan kampus sehingga mengancam keselamatan penuntut. Perkara ini sudah tentu tidak boleh dibiarkan,” katanya.
MalaysiaGazette sedang cuba berhubung dengan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Permatang, Nurul Noh bagi isu ini. -MalaysiaGazette