KUALA LANGAT – Kedudukan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu dalam Dewan Rakyat yang digugurkan keahlian dalam parti ini akan ditentukan mengikut peratuan Parlimen.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamdi berkata, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan membuat keputusan mengenai kedudukan semua mereka.
“Kita menyerahkan budi bicara ini mengikut peraturan Parlimen kepada Speaker dan tunggu sehingga persidangan Parlimen yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini,” kata Ahmad Zahid.
Beliau ditemui selepas majlis pelancaran Dasar TVET 2030 dan perasmian Hari TVET Negara 2024 yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Johari semalam dilaporkan berkata, belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak, berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu terbabit.
Speaker Dewan Rakyat itu berkata, beliau memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat.
Ini terutama melibatkan undang-undang termasuk akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap mereka.
“Pertamanya, pada masa ini belum ada lagi (notis dihantar). Apa berlaku di luar itu pada saya adalah noise dan selagi saya tak menerima secara hitam putih apa yang disebut oleh parti, apa tindakan diambil oleh parti terhadap parti mereka, saya rasa itu bukan bidang kuasa saya…saya tidak harus masuk campur.
“Kedua, saya ambil sikap bahawa mereka mungkin ahli parti, tetapi apabila mereka mengangkat sumpah di depan saya untuk menjunjung Perlembagaan dan taat setia kepada Malaysia di hadapan saya, jadi saya harus mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan dan hak Parlimen,” katanya kepada Bernama di Kyoto, Jepun semalam.-MalaysiaGazette