Kelihatan hidupan laut yang berada di Pulau Sapi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pulau Sapi, Sabah. Foto MUHD NA’IM, 13 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR- Peratusan Litupan Karang Hidup (LKH) di perairan Taman Laut dan Kawasan Larangan Perikanan Malaysia (FPA) pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan yang baik iaitu 54.23% berbanding tahun 2022 iaitu 50.96%.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, purata LKH Nasional pada 2023 berada pada 45.87% iaitu pada tahap sederhana, merangkumi kawasan terumbu yang dilindungi dan tidak dilindungi.

Peratusan LKH di kawasan taman laut dan FPA adalah lebih tinggi berbanding peratusan LKH Nasional.

Menurutnya, perbandingan ini jelas menunjukkan keberkesanan pengurusan habitat terumbu karang di Kawasan Perlindungan Marin (MPA) yang ditadbir urus oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

“Pemantauan tahunan kualiti air di Taman Laut juga dijalankan bagi memantau tahap kualiti air yang mempengaruhi faktor kesihatan habitat terumbu karang.

“DOF menempatkan lima stesen tetap pemantauan kualiti air di Taman Laut yang mencerap data pada sela masa lima minit. Data pemantauan ini akan membantu DOF dalam menilai langkah/ tindakan proaktif terhadap kesan perubahan iklim ke atas ekosistem lautan negara,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Lautan Sedunia 2024 iaitu Tindakan Pemangkin untuk Lautan dan Iklim Kita.

Adnan berkata, DOF juga terlibat dalam usaha pemuliharaan terumbu karang di kawasan terumbu yang terosot/ terdegradasi.

Pemuliharaan sumber marin melalui pendekatan restorasi adalah salah satu kaedah untuk memulihkan habitat terumbu karang yang diancam kemerosotan, tambahnya.

Kata beliau, kawasan seluas 1,045.63m2 di hadapan Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu telah berjaya dipulihara atau di restorasi daripada kesan kemusnahan akibat Ribut Tropika Pabuk yang melanda pada tahun 2019.

Bagi Taman Laut Pulau Payar Kedah, kawasan seluas 813m2 berjaya dipulihara dan usaha ini diteruskan di beberapa lokasi lain yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan Taman Laut seperti di Pulau Perhentian dan Pulau Redang, Terengganu.

Taman Laut Pulau Tioman, Sibu-Tinggi, Redang dan Perhentian telah dikenal pasti sebagai kawasan terumbu karang yang berdaya tahan ‘resilience’ daripada sebarang ancaman perubahan iklim.

“Kawasan ini akan diberikan perlindungan sepenuhnya agar tidak mengalami kelunturan karang di masa hadapan dan penekanan lebih melalui
pengezonan khas untuk memulihara habitat unik yang berada di kawasan tersebut.

Jelasnya, kelestarian ekosistem terumbu karang perlu dipelihara bagi mengelakkan khazanah marin tersebut musnah akibat aktiviti manusia.

Bersempena Sambutan Hari Laut Sedunia pada hari ini, orang ramai digesa untuk mengambil bahagian secara aktif dalam usaha pemuliharaan lautan dengan mengurangkan sisa plastik, menyokong amalan penangkapan ikan yang mampan dan menyokong pemuliharaan marin.

Adnan berkata, setiap individu boleh menyumbang kepada kesihatan dan kelestarian lautan demi kesejahteraan generasi semasa dan akan datang. – MalaysiaGazette