KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin kekal sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang diadakan pada Jumaat lalu, selari dengan keputusan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November tahun lalu.
“Bersatu juga kekal mengikut Perlembagaan parti bagi pertandingan untuk jawatan-jawatan lain, dengan calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan Oktober ini perlu memohon kepada Majlis Pimpinan Tertinggi,” kata Hamzah.
Jelas Hamzah lagi, langkah itu selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu.
Mesyuarat itu dipengerusikan Muhyiddin dengan disertai kepimpinan tertinggi parti.
Mesyuarat tersebut antara lain turut menyentuh mengenai tujuh wakilnya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hamzah berkata, MPT memutuskan untuk beliau membuat tindakan susulan mengenai perkara tersebut.
“Status tujuh wakil rakyat yang berpaling tadah juga telah diputuskan dan Majlis Pimpinan Tertinggi mengarahkan Setiausaha Agung untuk membuat tindakan susulan,” kata Hamzah.
Difahamkan kepimpinan tertinggi Bersatu sedang memperhalusi beberapa langkah sebelum meneruskan usaha menghantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan di bawah undang-undang antilompat parti.
Setakat ini, Bersatu masih belum menghantar notis kekosongan itu ekoran keahlian tujuh wakil rakyat terlibat terhenti serta-merta daripada keanggotaan parti.
Parti itu dikatakan mengambil kira Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 10.4 Perlembagaan parti bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat terhenti apabila terhenti menjadi anggota parti.
Hal ini kerana keahlian tujuh wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sudah terhenti kerana ketidakpatuhan terhadap arahan dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi parti.
Sebelum ini, Muhyiddin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan terhenti serta-merta.
Antaranya enam Ahli Parlimen iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Selain itu seorang ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari. – MalaysiaGazette