Keluarga mangsa sindiket pemerdagangan manusia dengan MHO baru-baru ini. Foto kredit: MHO

KUALA LUMPUR – Kes-kes berkaitan pemerdagangan manusia seperti belum ada noktahnya apabila rakyat Malaysia terus menjadi mangsa kepada sindiket melalui pelbagai cara terutamanya peluang bekerja di luar negara dengan gaji lumayan.

Terbaharu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan, seorang pemuda berusia 27 telah menjadi mangsa sindiket pemerdaganngan manusia di Myanmar bulan lalu.

MHO antara pertubuhan bukan kerajaan yang agak agresif dalam misi menyelamatkan mangsa-mangsa pemerdagangan melalui bantuan pihak berwajib termasuk di Myanmar, Kemboja dan beberapa negara lagi.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, keluarga mangsa tampil membuat aduan kepada MHO minggu lepas mendedahkan pemuda itu yang berasal dari Pulau Pinang terpengaruh dengan tawaran kerja sindiket itu.

Kata Hishamuddin, mangsa telah datang ke Kuala Lumpur sebelum bertolak pada 29 Mei lepas ke Thailand sebelum diseludup masuk ke Myanmar secara paksa.

Jelasnya, mangsa sepatutnya ke Singapura untuk bekerja di sebuah syarikat kewangan.

“Keluarga mangsa tidak menyedari keadaan yang menimpa anak mereka sehingga menerima panggilan bahawa dia kini sudah berada di Myanmar dan tidak dapat pulang ke sini jika tidak membayar wang tebusan sebanyak AS$25,000 (RM117,450). Mereka terkejut apabila tahu anaknya tidak ada di Singapura sebaliknya di Myanmar.

“Dia juga memaklumkan sindiket itu telah memaksanya untuk bekerja di Myanmar selama setahun andai tidak membayar tebusan berkenaan. Kita telah menasihati keluarga untuk tidak membuat sebarang pembayaran kerana kerana wang tersebut akan disalurkan ke akaun kripto. 

“Kita percaya andai bayaran ini dibuat mungkin keluarga mangsa akan ditipu sekali lagi kerana mangsa tidak akan dengan senang dilepaskan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Hishamuddin lagi, keluarga mangsa sudah membuat dua laporan polis tentang insiden menimpa anak mereka.

Pada masa sama MHO  sedang selidik dengan pihak berwajib di sana untuk menyelamatkan mangsa.

“Kita ada pasukan khas yang sedang pantau serta kesan lokasi tetapi jika hendak ikut semua cakap sindiket ini, tidak ada jaminan bahawa ahli keluarga yang kini terperangkap itu akan pulang dengan selamat.

“MHO juga memohon jasa baik polis dan pihak berwajib untuk sama-sama bantu menjejaki mangsa. Selalunya mangsa adalah golongan yang cuba bekerja bagi mendapat gaji lebih tinggi dengan bekerja di luar negara. Kebanyakan mereka ini tidak sedar diperangkap sindiket,” katanya.

Hishamuddin berkata, mangsa adalah seorang pelukis sambilan dan telah mencuba nasib kerja di luar negara bagi mengurangkan bebanan keluarganya.

Dia telah berhubung dengan keluarganya menyatakan dia selamat dan bekerja untuk seorang lelaki China.

Tambahnya, keluarga mangsa juga bukanlah golongan berada dan tidak mampu bayar tebusan yang diminta. -MalaysiaGazette