Fadhlina.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengucapkan takziah kepada keluarga  mangsa kemalangan bas membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka dengan sebuah treler di Kilometer 126, Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga ke Bahau di Rompin, tengah malam tadi.

Beliau berkata, dalam kejadian di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah Ketika bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu dalam perjalanan ke Terengganu.

“Setakat maklumat yang diterima, dua orang termasuk seorang guru maut manakala 37 cedera dan kini mendapatkan rawatan di hospital.

“Beberapa guru yang terbabit dalam nahas ini juga dilaporkan menerima rawatan rapi akibat kecederaan parah.

“Didoakan juga semua guru yang cedera akan segera sembuh dan kembali aktif seperti biasa untuk menjalankan amanah sebagai pendidik bangsa.

“Khabar ini pastinya menjadi suatu kisah duka seluruh rakyat Malaysia. Di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia, kita akan usahakan sebaik mungkin membantu menyokong mereka yang terbabit dalam nahas ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam kemalangan itu, dua maut manakala 37 cedera membabitkan bas bawa rombongan guru dari Melaka dan treler di Jalan Kuantan-Segamat berhampiran simpang tiga Bahau, Rompin.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang juga Guru Penolong Kanan 1 SK Jeram dan Mohd Adi Hasan, 29. – MalaysiaGazette