--foto Bomba Kelantan

KOTA BHARU – Seorang guru bahasa Arab wanita maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kampung Kubang Telaga, Bachok, dekat sini pada kira-kira 2 petang tadi.

Ketika kejadian, mangsa Nur Ain Fitriah Zakaria, 25, yang memandu Perodua Myvi dikatakan sedang dalam perjalanan pulang selepas mengajar di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al Hidayah Al Islamiah Kampung Chap dekat Bekelam, di sini.

Ayah mangsa, Zakaria Mat, 54, berkata beliau menerima berita mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 2.15 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Allahyarhamah adalah anak kedua daripada lima beradik dan kereta Myvi saya belikan untuknya sejak enam bulan lepas bagi memudahkan pergi kerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, dekat sini.

Beliau berkata arwah anaknya itu baru tiga bulan mengajar di sekolah berkenaan selepas lebih setahun setengah tamat pengajian di Mesir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA