Foto FB Khairul Fahmi.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat mencetuskan persoalan netizen selepas berkongsi keadaan rumahnya yang tiada bekalan elektrik dan mendakwa sudah lama bil tidak dibayar.

Perkara itu dikongsikan selepas membalas komen secara sinis eorang individu dalam media sosial menerusi laman Instagram.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan panggil Apek memuat naik video dipercayai sedang duduk di tangga rumahnya dengan memuat naik kapsyen ‘Dunia umpama neraka hidup ibarat layang-layang’.

Disebabkan hantaran yang dimuat naik oleh penjaga gol berusia 35 tahun itu, ramai penyokong meninggalkan komen untuk mengetahui keadaan sebenar pemain Sabah itu.

Seorang pengguna Instagram bertanya adakah rumah bintang Sabah itu tiada bekalan elektrik dan pertanyaan itu dijawab oleh Apek.

“Tiada karan (elektrik) ke Apek?”

“Tiada elektrik, lama dah tak dibayar,” jawab Khairul Fahmi.

Jawapan Khairul Fahmi itu turut mendapat perhatian penyokong lain selepas tersebar khabar angin pasukan Sabah mengalami isu tunggakan gaji.

Sebelum ini, beberapa pemain Sang Badak seperti Farhan Roslan dan Saddil Ramdani menunjukkan isyarat empat menggunakan jari.

Isyarat empat itu ditunjukkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee selepas berjaya menundukkan PSIS Semarang dalam aksi RCTI Premium Sports dengan keputusan 2-1 di Stadium Antarabangsa Jakarta, Indonesia pada Ahad lalu.

Petunjuk berkenaan kemudiannya diterjemahkan rata-rata penyokong skuad Sang Badak yang mahu jawapan tepat diberikan pihak pengurusan akan situasi sebenar kewangan mereka.

Menurut sumber terdekat pasukan, Sabah sedang mengalami masalah tunggakan gaji sejak Mac lalu dan beliau mendakwa duit penajaan RM6 juta untuk perbelanjaan pasukan telah digunakan awal tahun ini. – MalaysiaGazette