PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan harga baharu diesel pada kadar RM3.35 seliter di stesen minyak Semenanjung Malaysia mulai tengah malam ini susulan pengumuman Kementerian Kewangan hari ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi melalui penggunaan fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Beliau berkata, syarikat pengangkutan awam dan barangan yang telah memperolehi kelulusan SKDS tetapi belum menerima fleet card daripada syarikat minyak dikehendaki menyimpan resit pembelian diesel bermula 10 Jun 2024.
“Ini bagi membolehkan tuntutan pembayaran balik tunai dibuat kepada MOF mengikut tatacara permohonan yang akan diumumkan kelak,” katanya.
Pada masa yang sama, KPDN menyeru syarikat pengangkutan yang layak tetapi masih belum memohon kelulusan subsidi diesel untuk segera berbuat demikian melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my dan seterusnya memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan.
“KPDN ingin menegaskan bahawa semua arahan dan peraturan sedia ada berkaitan dengan penjualan diesel masih berkuat kuasa dan terpakai dengan pengumuman harga baharu diesel ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kerajaan umum harga diesel RM3.35 seliter di Semenanjung mulai tengah malam ini