HARI INI banyak sekali hal yang berlaku dek kerana komunikasi kurang berkesan. Usah cakap dalam konteks komunikasi di tempat kerja, dalam keluarga sendiri juga boleh berlaku banyak salah faham kerana kekangan komunikasi. “Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri”. Pepatah ini sering kita dengar dalam masyarakat Melayu, yang tidak dinafikan menunjukkan bahawa membuat khilaf itu biasa, apa lagi dalam sesebuah keluarga.
Namun, tidak pula pepatah ini menyuruh kita untuk terus terusan membuat sesuatu kesalahan. Mesej yang jelas ingin disampaikan lebih kepada kesalahan boleh berlaku dalam sesebuah keluarga tanpa diminta. Maka, perlu ada usaha untuk mengelakkan lebih banyak kali “tergigit lidah” dalam keluarga, apatah lagi dalam bulan mulia ini. Tidak dinafikan, salah satu alat paling berkesan boleh digunapakai dalam mana-mana keluarga bahkan dalam mana-mana budaya sekalipun ialah komunikasi berkesan.
Asasnya yang perlu kita faham ialah, keluarga yang bahagia bukanlah keluarga yang tidak mempunyai sebarang masalah. Keluarga yang bahagia itu terjelma apabila setiap individu dalam keluarga itu memainkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan baik. Tidak keterlaluan dikatakan kita sering disogok dengan pelbagai berita masalah rumah tangga baik yang berpunca daripada masalah kewangan sehinggalah membawa kepada kerapuhan kesihatan mental.
Hal ini berlanjutan sehingga mencemar mental seseorang kerana kegagalan dikomunikasikan lebih awal dengan pasangan, yang akhirnya menjadi beban yang hanya ditanggung oleh satu pihak walhal masalah boleh dibincangkan bersama dan dicari penyelesaiannya dalam konteks “menang-menang”. Membuka ruang untuk pasangan berkongsi masalah itu sendiri adalah satu kemahiran. Kemahiran utama yang perlu di sini adalah sifat keterbukaan serta kemahiran mendengar.
Motivator terkenal dunia Stephen Covey pernah mengingatkan kita betapa pentingnya untuk kita mendengar dengan tujuan yang betul, iaitu, kesilapan yang sering kita lakukan ialah mendengar untuk memberi maklum balas, bukan mendengar untuk memahami. Betapa benarnya jika kita teliti kenyataan ini kerana dalam banyak situasi rumah tangga, satu pihak yang berkongsi masalah akan bercerita (isteri misalnya), manakala pihak satu lagi (mungkin suami) fokus mendengar dengan harapan dapat memberi maklum balas terhadap apa yang dikongsikan. Hakikatnya, dalam konteks komunikasi berkesan, tidak semua masalah yang dikongsikan diharapkan untuk dihuraikan atau dikomen.
Menurut sarjana komunikasi antara personal, mendengar dengan tujuan memahami itu sendiri adalah satu bentuk sokongan moral kepada yang berkongsi masalah. Namun, acapkali juga pihak yang berkongsi masalah mengharapkan komen daripada yang mendengar. Jika itulah yang diinginkan, maka dengarilah, fahamilah dan berilah maklum balas dengan komen yang tepat, tidak keterlaluan dan tidak mengecilkan hati yang berkongsi masalah, malah ditertib seluruh prosesnya dengan sopan dan empati.
Dalam Islam, kita sering diingatkan supaya sentiasa bercakap dengan berhemah dan tidak melampaui batas. Seperti mana firman Allah dalam Surah Taha ayat 43-44 yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. Berdasarkan dari ayat ini, Allah memerintah Nabi Musa dan Harun a.s. untuk bercakap dengan lemah-lembut walaupun Firaun adalah seorang raja yang zalim. Bayangkan dengan Firaun yang melakukan kezaliman terhadap Bani Israil, Allah perintahkan kepada Nabi Musa dan Harun AS untuk breakup dengan lemah-lembut.
Apatah lagi apabila bercakap dengan ahli keluarga, maka tiada sebab untuk tidak disantuni dan dilihat boleh menjadi asbab kepada penyelesaian sesuatu masalah yang sedang cuba diselesaikan. Berbincang dengan lemah lembut, terbuka dan cuba memahami serta mempunyai keupayaan membujuk diyakini boleh membuka ruang dan peluang yang lebih luas dalam konteks komunikasi berkesan. Selain itu, sentiasalah nasihat menasihati dalam sesebuah keluarga kerana nasihat melembutkan jiwa.
Seseorang itu malah dikatakan mati hatinya jika tegar menolak nasihat. “Dan sesungguhnya akan Kami isikan dalam neraka Jahanam ramai dalam kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telingan (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti binatang bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai dari mendengar kebenaran,” (Surah Al-A’raf : 179).
Ibrahnya, kita jangan benarkan hati kita mati kerana itulah antara punca keresahan dalam jiwa dan keluarga. Memberi dan menerima nasihat, terbuka untuk perbincangan masalah serta mendengar dengan berkesan boleh diaplikasikan dalam konteks komunikasi berkesan dalam keluarga. Ketua keluarga dan semua ahli keluarga yang menjaga lidah dan akhlak pastinya mekar hatinya dengan keterbukaan dan meraikan musyawarah dalam kehidupannya apa lagi dalam konteks rumah tangga.
Dr Siti Suriani Othman,
Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia.
Madihah Muner,
Pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia