KUALA LUMPUR – Puluhan peserta hadir bersolidariti untuk Palestin dengan membawa plakad mengutuk kekejaman Israel ketika dif kehormat pelbagai negara melalui pintu utama Hotel Mandarin Oriental di sini malam ini.
Himpunan anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) dinamakan Protes Senyap itu diadakan susulan Majlis Makan Malam Sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS).
Ia bagi menunjukkan kekesalan terhadap AS yang menjadi sekutu Israel apabila terus menyokong pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin selain menyampaikan mesej kepada wakil negara yang hadir pada majlis berkenaan.
Pegawai Media SSP, Nur Hafizah Shamsudin berkata, AS perlu sedar saat mereka menjamah makanan untuk menyambut kemerdekaan, rakyat Palestin kini sedang dibunuh demi menuntut kebebasan.
“Kita juga menggesa AS segera menamatkan eksport senjatanya ke negara haram itu serta patuhi perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menamatkan serangan ketenteraan Israel,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang hadir berharap semua negara lebih lantang menyuarakan isu berkenaan di forum antarabangsa.
Ujarnya, negara yang mempunyai nilai manusiawi perlu sedar bersekongkol dengan Israel serta sekutunya tidak mendatangkan faedah malah hanya memudaratkan rakyat sendiri kerana menyokong kezaliman.
Beliau turut berkongsi pembantaian terbaharu di kem pelarian Nuseirat yang mengorbankan 210 nyawa dan sekurang-kurangnya 400 lagi cedera angkara kezaliman zionis.
Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali pula menganggap penganjuran Protes Senyap itu membawa simbolik masyarakat dunia terus membisu melihat saudara sendiri dibunuh kerana tiada kuasa untuk melawan.
Rentetan itu, beliau memaklumkan satu lagi protes sama akan dilakukan pada 20 Jun ini di ibu negara dengan pembabitan lebih ramai aktivis, tokoh politik dan peserta agar lebih ramai dapat menghantar mesej keamanan. – MalaysiaGazette