Orang ramai tidak melepaskan peluang membanjiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 24 MEI 2024.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PABKL) yang berlangsung dari 24 Mei hingga 2 Jun lalu mendapat sambutan yang hangat dari kalangan peminat buku dan pembaca tegar dari seluruh negara bahkan luar negara turut bertandang. Ia merupakan salah satu acara tahunan yang dinanti-nantikan kerana menjadi platform utama khususnya untuk pencinta buku, penerbit, penulis dan pembaca dari dalam dan luar negara untuk berkumpul dan berkongsi minat mereka terhadap perbukuan.

Sedikit imbasan sejarah yang mengenai PABKL, ia mula dianjurkan pada tahun 1981 sebagai satu usaha untuk mempromosikan budaya membaca dan industri perbukuan negara. Dari tahun pertama penganjurannya,PABKL telah berkembang menjadi acara tahunan yang semakin menarik jumlah pengunjung.

Menurut Pengerusi Pengelola PABKL, Mohd Khir Ngadiron seramai 1.8 juta pengnjung mengunjungi PABKL2024 sepanjang 10 hari penganjurannya, melebihi sasaran 1.5 juta pengunjung dan ini secara langsung turut memberi kesan kepada peningkatan 30 sehingga 50 peratus hasil jualan.

Penulis antara yang berkunjung ke PABKL kali ini, tidak hanya sebagai pengungjung biasa yang mencari buku untuk dijadikan bahan bacaan baharu, tetapi turut juga untuk menyaksikan pelancaran naskah buku yang ditulis bersama rakan-rakan pentadbir universiti berjudul Rendang Maman Itik Salai : Himpunan Memoir Pentadbir Universiti yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.

Bercerita tentang penulisan, ramai kalangan pemimpin hebat dunia yang menjadikan penulisan sebagai salah satu terapi diri kepada mereka atau orang muda kini istilahkan sebagai ‘healing’. Secara realitinya, setiap dari kita perlukan ketenangan namun ia bukanlah untuk memperoleh ketenangan dalam senario dan tuntutan hidup semasa yang rencam dan mencabar. Memandangkan ketenangan itu sangat penting, maka kita akan lakukan apa sahaja untuk mendapatkan ketenangan.

Terdapat pelbagai cara untuk terapi diri,ada yang percuma tanpa keluarkan perbelanjaan, ada juga yang tidak kisah berbelanja besar demi mencari ketenangan. Ada kalangan teman penulis yang mencari terapi diri menerusi terapi keagamaan, aktiviti melukis, bermain alat muzik dan melancong. Bagi penulis, salah satu cara terapi diri adalah menerusi penulisan dan ia terbukti sebahagian dari kaedah yang secocok dengan diri penulis untuk mencapai ketenangan. Pun begitu, tidak dapat penulis nafikan tidak ramai memilih kaedah terapi sebegini kerana kurang atau tiada kemahiran menulis.

Mengambil contoh di negara-negara maju, mereka telah lama menjadikan penulisan sebagai sebahagian daripada budaya mereka. Segala berkaitan dengan diri mereka akan ditulis dalam jurnal bermula dari awal persekolahan lagi. Bagi pakar-pakar psikologi, penulisan ini juga dikenali sebagai autobiografi. Bagi mereka yang biasa dengan menulis, secara langsung mereka juga akan membaca bagi memperkayakan tulisan mereka. Akhirnya, budaya membaca dan menulis sudah sebati dengan kehidupan mereka.

Bagi penulis, minat ini datang secara tidak langsung dari penglibatan secara serius dalam aktiviti pengucapan awam (debat dan pidato) yang diceburi sejak zaman sekolah hingga ke universiti. Apabila menyertai pertandingan pidato mewakili sekolah dahulu, penulis akan bermula dengan membaca pelbagai sumber ada di perpustakaan bagi mengumpul bahan-bahan berkaitan tajuk pidato sebagai idea awal. Dari bahan-bahan yang dikumpul, dari situ penulis mula mengarang teks pidato sendiri sebelum ditambah baik oleh guru pengiring. Dari menulis teks pengucapan awam, penulis berjinak-jinak menulis berita program-progam siswa semasa di kampus untuk dihantar ke surat khabar dan mula menjadi ‘gian’ menulis berita apabila satu demi satu berjaya ‘keluar’ surat khabar.

Apabila masuk ke alam pekerjaan, sebagai pentadbir universit tidak dapat lari dari perlu menulis pelbagai dokumen rasmi seperti surat, minit mesyuarat, laporan, kertas kerja dan lain-lain lagi. Semua ini membuka pengalaman baharu kepada penulis kerana setiap dokumen rasmi yang disediakan mempunya format dan olahan penulisan yang berbeza. Ketika ditempatkan di sebuah jabatan yang bertanggungjawab dalam perhubungan awam dan media, menulis berita itu salah satu tugas hakiki dan ia bukanlah sesuatu yang ‘berat’ bagi penulis kerana sudah terbiasa menulis sejak bergelar mahasiswa dahulu.

Bagi mempelbagaikan bentuk penulisan, ia juga perlu seiring dengan memperbanyakkan membaca serta genre bahan bacaan. Satu dapatan yang positif, Kajian Profil Membaca oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada dua naskah buku setahun pada tahun 2005 kepada 15 naskah buku setahun pada 2014 dan semakin meningkat bagi tempoh 2022 sehingga kini menjadi 24 naskah setahun. Siapa yang boleh menjangka, mungkin dari salah-satu penulisan kita, ia menjadi titik mula (turning point) kepada perubahan yang besar dalam kehidupan seseorang yang membaca kisah pengalaman hidup yang kita coretkan.

Penulis adalah Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Timbalan Bendahari Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pihak atau institusi.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here