Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) melakukan gimik pelancaran pada Majlis Pengumuman Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang Dana Peladang Kebangsaan (DPK) Tahun 2023 di Hotel Palm Garden, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan agihan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) iaitu Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2023 sebanyak sembilan peratus.

Agihan berkenaan merupakan enam peratus dividen manakala tiga peratus lagi adalah bonus untuk pelaburan RM50,000 pertama dan satu peratus hibah untuk akaun simpanan biasa Al-Wadiah DPK dengan jumlah keseluruhan komitmen bayaran sebanyak RM12.2 juta.

Ia membabitkan hampir 8,500 pelabur dengan pengumuman mengenainya dibuat oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu majlis yang diadakan hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bergambar bersama penerima Kempen Penambahan Pelaburan SPKP DPK Go Invest pada Majlis Pengumuman Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang Dana Peladang Kebangsaan (DPK) Tahun 2023 di Hotel Palm Garden, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2024

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP yang menjalankan tugas Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu DPK, Datuk Ali Shikh Ahmad dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.

NAFAS dalam kenyataannya pula berkata, DPK mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM16.2 juta dengan keseluruhan agihan dividen dan bonus sebanyak RM12.2 juta bagi tempoh sama.

“Melihat kejayaan NAFAS mengumumkan kadar dividen yang memberangsangkan setiap tahun – saya yakin NAFAS akan terus memainkan peranannya di masa hadapan secara efektif dan terus membayar dividen kepada pemegang-pemegang sahamnya yang terdiri ahli peladang sendiri,” kata Mohamad dalam kenyataan itu.

Tambah beliau, ahli-ahli pertubuhan peladang di seluruh negara digalakkan untuk melabur bersama SPKP-DPK bagi menikmati pelbagai manfaat tambahan dalam membantu meningkatkan sumber ekonomi warga tani sekaligus mengukuhkan sektor pertanian negara secara keseluruhannya.

Sementara itu, Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin dalam kenyataan sama berkata, DPK telah menganjurkan Kempen Penambahan Pelaburan SPKP-DPK (Go Invest) yang telah berlangsung mulai 1 Julai 2023 sehingga 15 Mac 2024 bagi menarik rangkaian Pertubuhan Peladang untuk membuka akaun atau menambah pelaburan sedia ada.

Katanya, jumlah keseluruhan pertambahan pelaburan SPKP-DPK sepanjang tahun 2023 serta tempoh kempen adalah sebanyak RM36.3 juta.

“DPK juga sedang meneroka pelaburan baharu dalam portfolio pelaburan jangka pendek dan panjang yang mampan serta terlibat aktif dalam langganan Saham Tawaran Permulaan Awam
(IPO),” ujarnya.

Di samping itu, DPK turut menawarkan perkhidmatan pembiayaan dan pelaburan usahasama dengan pembiayaan terkumpul lebih RM25 juta untuk projek pertanian seperti tanaman sawit dan fertigasi, stesen minyak, sewa beli jentera yang dapat dimanfaatkan oleh rangkaian Pertubuhan Peladang dan ahli Pertubuhan Peladang.

DPK – NAFAS juga telah melancarkan kemudahan web portal MyDPK serta aplikasi mudah alih bagi transaksi dihujung jari tanpa tunai berharap dapat menarik capaian serta memudahkan ahli yang lebih memberangsangkan selaras dengan transformasi digital perkhidmatan DPK.

Pelbagai kempen yang dilaksanakan dalam mempromosikan keahlian baru dan pelaburan DPK seperti Kempen JomPAY bersama AmBank Islamic Sdn Bhd 2023, Go Invest DPK 2023-2024 serta Kempen Tambah Ahli 2024 yang kini mencatatkan perkembangan yang positif.

Dana Peladang Kebangsaan masih terus kekal relevan dengan menawarkan perkhidmatan kewangan, pembiayaan serta pelaburan yang menguntungkan bagi para pelabur yang terdiri
daripada ahli-ahli Peladang seluruh negara, Pertubuhan Peladang Kawasan dan juga Pertubuhan Peladang Negeri. – MalaysiaGazette