Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (dua dari kanan) bersama Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd Malek kentika mengadakan ziarah keatas lima mangsa nahas bas rombongan sekolah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) hari ini.

KUANTAN – Operasi persekolahan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram di Melaka berjalan seperti biasa meskipun berlaku kekurangan guru serta kakitangan sekolah yang terlibat nahas bas Jalan Kuantan-Segamat semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya  telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan sesi persekolahan beroperasi dan dibantu dan dipantau oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Malah, katanya, proses pengajaran dan pembelajaran juga akan dibantu oleh PPD dengan menyelaraskan  jadual waktu dan sebagainya bermula hari ini selain memberikan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa.

”Pihak PPD sedang membantu pihak sekolah untuk memastikan bahawa operasi pengaran dan pembelajaran sekolah anak anak kita tidak akan terjejas.

”Jadi kesemua ini pihak PPD memberikan bantuan kepada pihak sekolah untuk mengaturkan dari segi jadual masa dan juga pengoperasian sekolah so dari segi itu, tidak ada masalah.

”Bantuan awal dari segi kaunseling juga telah digerakkan bagi mereka yang sudah pulang ke rumah yang berkemungkinan mengalami trauma dan sebagainya,” katanya.

Difahamkan sekolah berkenaan memang tidak beroperasi hari ini (Isnin) susulan cuti peristiwa yang dimohon oleh pihak SK Jeram kepada Jabatan Pendidikan Melaka kerana telah menganjurkan Kem Bestari Solat pada Sabtu, sehari sebelum kejadian.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kepada warga SK Jeram yang masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) petang tadi.

Hadir mengiringi sama Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd Malek yang meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa nahas.

Dalam lawatan itu, Wong Kah menziarahi kelima-lima mangsa yang empat daripadanya guru dan seorang lagi ahli kumpulan pelaksana termasuk seorang daripada mereka yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam nahas awal pagi semalam, empat nyawa terkorban dalam kemalangan membawa 39 penumpang dalam sebuah bas persiaran yang dilapoakan merempuh treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat simpang tiga menghala ke Bahau sebelum terbalik.

Bas persiaran tersebut membawa 22 guru SK Jeram dalam perjalanan dari Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

Dalam tragedi itu, polis mengesahkan Dahlia Ahmad, 52, seorang guru agama sebagai mangsa keempat yang meninggal dunia malam tadi ketika menerima rawatan selepas melakukan pembedahan di Unit Rawatan Rapi HTAA.

Terdahulu mangsa ketiga pula merupakan penumpang dalam bas berkenaan dikenali sebagai Hamzah Ahmad, 60, yang bertugas sebagai Pembantu Operasi SK Jeram juga meninggal dunia.

Manakala seorang lagi guru wanita Hasnatul Adilah Hassan, 48, pula meninggal dunia di lokasi kejadian.

Selain itu pemandu kedua bas juga disahkan maut ialah Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN :

Nahas bas rombongan: Sampel air kencing, darah pemandu bas diambil

Ustazah Dahlia mangsa keempat nahas bas meninggal dunia

12 mangsa nahas rombongan guru masih terima rawatan

Dua maut, 37 cedera insiden bas bertembung treler

Ayah pencen 7 Julai ini, dia berat hati mahu ikut rombongan – Anak

Mangsa ketiga nahas bas meninggal dunia