Allahyarham Zyan Rayyan

ESOK atau lusa kepastian sama ada ibu bapa kepada Allahyarham Zyan Rayyan Abdul Matiin didakwa atau tidak.

Selepas 14 hari tahanan reman kepada mereka tamat, satu keputusan mesti dibuat oleh pihak berkuasa mengenai kes kontroversi itu – didakwa atau dibebaskan.

Kes kematian kanak-kanak austisme itu menjadi sorotan ramai pihak sejak tahun lepas di mana ia dilihat tertangguh kerana ketiadaan petunjuk baharu.

Namun selepas kedua ibu bapanya ditahan, ia kembali mencetuskan mencetuskan perhatian termasuk terbaharu ibu mangsa dibawa ke kediaman dan lokasi kejadian untuk lakonan semula.

Dalam keadaan polis menjaga kerahsiaan kerana bimbang ia menganggu siasatan namun malangnya netizen di media sosial terus membuat andaian dan ramalan.

Macam-macam teori mereka buat dan tular termasuk klip video lama. Ada memprekdisi bahasa badan, ada mengandaikan sendiri peristiwa yang berlaku dengan pelbagai teori.

Lebih memarakkan api apabila kaum keluarga suspek membuat demonstrasi di perkarangan mahkamah, kita faham emosi mereka namun jika dipanjangkan lagi bimbang mengganggu penilaian pihak berkuasa.

Harus diingat seseorang ditahan reman bukan bermakna dia bersalah kerana ia proses siasatan.

Malah jika didakwa sekali pun, seseorang itu berhak mempertahankan diri daripada tuduhan.

Kita harap dengan bukti, pembunuh Zyan Rayyan dapat diseret ke muka pengadilan walaupun siapa pun dia. – MalaysiaGazette