Kanak-kanak Palestin berada di kawasan runtuhan rumah mereka sehari selepas operasi oleh Pasukan Khas Israel di kem Nuseirat, di tengah Semenanjung Gaza pada 9 Jun 2024. Foto AFP

HAMILTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melahirkan rasa sedihnya serta mengecam kematian orang awam Palestin berikutan serangan maut Israel ke atas kem pelarian Nuseirat untuk mengeluarkan empat tebusan.

“Antonio Guterres melahirkan rasa dukacita dengan kematian ratusan orang awam Palestin dan kecederaan melibatkan anggota PBB dalam konteks operasi itu,” kata jurulatih Stephane Dujarric kepada pemberita semasa sidang akhbar.

Memetik maklumat yang diperoleh daripada Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB di lapangan, Dujarric berkata, hospital di wilayah itu menerima limpahan individu yang cedera selepas operasi Israel.

Mengulangi gesaan agar semua pihak melindungi orang awam, Dujarric berkata, kehilangan setiap nyawa adalah tragis.

Dalam pada itu, katanya, PBB tidak mempunyai maklumat dakwaan bahawa askar Israel memasuki kem dengan trak bantuan semasa operasi berkenaan dijalankan.

Beliau menegaskan, kebebasan operasi kemanusiaan dan pekerja bantuan mesti dihormati di seluruh dunia.

“Kami tidak.. mengelilingi diri kami oleh pengawal bersenjata atau masyarakat sendiri. Kami sangat berharap perkara itu difahami,” ujarnya yang merujuk kepada keselamatan pekerja-pekerja PBB.

Pada hari Sabtu, tentera Israel mengeluarkan empat tebusan semasa operasi ketenteraan di kem pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.

Semasa operasi itu, sekurang-kurangnya 274 rakyat Palestin terbunuh dan 700 lagi cedera dalam pengeboman itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – Agensi