PUTRAJAYA – Langkah kerajaan membuat penyasaran subsidi diesel bagi memastikan penjimatan tersebut boleh diagihkan kepada perkara-perkara yang memerlukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjimatan RM4 bilion yang diraih menerusi penyasaran semula subsidi bahan api itu akan dibelanja bagi menampung keperluan kos pengangkutan awam serta suntikan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Wang (penyasaran subsidi) itu bukan untuk naikkan elaun menteri atau kementerian lain. Penyasaran subsidi ini untuk pastikan subsidi tidak diberi kepada golongan maha kaya dan warga asing.
“Jadi (penyasaran subsidi) diesel ini sebahagiannya untuk menampung keperluan pengangkutan awam atau bantuan kepada rakyat. Sebahagiannya untuk tambah suntikan tunai rahmah (STR) yang skim ini kini sudah mencecah (belanja) RM10 bilion,” katanya dalam perhimpunan warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, pagi ini.
Hadir sama adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah dan timbalannya, Lim Hui Ying.
Tambah Anwar, penyasaran subsidi diesel itu adalah langkah ketiga yang digerakkan kerajaan dalam menstruktur semula agihan subsidi negara, selepas tarif letrik, dengan penjimatan RM4.5 bilion dan subsidi ayam dengan penjimatan RM1.2 bilion.
Anwar turut berkata, langkah tidak popular itu jelas tidak mendatangkan kesan yang baik dari segi politik bagaimanapun ia harus dilakukan demi kepentingan rakyat terbanyak.
“Selalunya pemimpin politik itu fikir juga kesan negatif jadi apapun kita lalukan iaitu tarik subsidi atau naikkan cukai memang membebankan dari pandangan politik.
“Tapi dari pandangan kita saya beritahu jemaah Menteri kita kena buat keputusan yang baik sementara kita harus bantu rakyat dan tidak harus beri subsidi kepada golongan maha kaya dan industri besar,” katanya lagi.
Untuk rekod, harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter mulai semalam.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebelum ini berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel bagi semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia akan ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM). – MalaysiaGazette