Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hak Konsumer Sejahtera (HAKS) menggesa kerajaan membuat penilaian semula terhadap pemansuhan subsidi diesel agar impak kenaikan harga bahan api itu dapat diatasi.

Pengerusinya, Shahir Adnan berkata, berita pemansuhan subsidi diesel secara penuh di Semenanjung adalah satu hadiah sengsara yang terpaksa ditelan oleh rakyat.

Katanya, agak menarik untuk dibandingkan subsidi diesel yang dimansuhkan ketika era Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri yang mana subsidi itu hanya naik 3 sen, walaupun harga minyak pada waktu itu adalah AS$110 setong.

“Namun, ketika harga minyak dunia lebih rendah, sekitar AS$80 setong, subsidi diesel dimansuhkan seterusnya menyebabkan harga diesel naik mendadak sebanyakRM 1.20 setiap liter, daripada RM2.15 kepada RM3.35 setiap liter.

“Ini adalah kenaikan harga melebihi 50 peratus, menteri berkaitan perlu menjelaskan apakah formula yang digunakan rentetan kenaikan harga yang mendadak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shahir, kementerian berkaitan perlu mempergiatkan penguatkuasaan di sempadan bagi mengelakkan ketirisan akibat penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak kerana harga bahan bakar itu di sana masih diberikan subsidi.

Ujarnya, ia merupakan faktor utama diberikan keutamaan oleh kerajaan dalam memansuhkan subsidi.

Seterusnya penguatkuasaan di sempadan Malaysia-Thailand dan Malaysia-Singapura juga perlu ditingkatkan, katanya.

Tambah beliau, alasan memansuhkan subsidi kerana tidak mahu menolong golongan ‘maha kaya’ adalah naratif yang dinyatakan Kerajaan Madani.

Shahir Adnan

“HAKS berharap penjimatan hasil pemansuhan subsidi ini diberikan kepada rakyat. Kita tidak mahu hasil penjimatan ini diberikan kepada golongan maha kaya kroni tertentu dalam bentuk projek-projek rintis.

“Sekali lagi, HAKS menyeru agar kerajaan membuat penilaian semula terhadap kenaikan harga diesel lebih 50 peratus, seterusnya menggunakan penilaian ini apabila pemansuhan subsidi RON95 diumumkan kelak.

“HAKS ingin mencadangkan Kerajaan Madani untuk membuka ruang baru mewujudkan penjualan RON89 atau RON91 yang harga lebih rendah walaupun tanpa subsidi,” tambahnya. – MalaysiaGazette