Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyaksikan Prof John Clarkson (tiga kanan) menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Cambridge tajaan Advance Pact, kepada Hanushree Arumugam di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 13 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Syarikat perundingan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan komprehensif di Malaysia, Advance Pact Sdn. Bhd. (Advance Pact) menaja seorang pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di Cambridge University, United Kingdom.

Ketua Pegawai Eksekutif Advance Pact, Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata, pelajar terbabit Hanushree Arumugam, 25 akan menyambung pengajian dalam bidang perubatan bio-sains.

“Pelajar ini ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD, dengan tajuk Health Systems Design / International Health Systems (Reka Bentuk Sistem Kesihatan / Sistem Kesihatan Antarabangsa)

“Harapan Advance Pact dengan pemilihan pelajar ini, beliau dapat menghubungkan dua negara, Malaysia dan United Kingdom, khususnya dalam bidang kesihatan yang mengetengahkan system approach (sistem pendekatan) dalam mempertingkat kualiti sistem kesihatan di Malaysia,” katanya.

Penerimaan Hanushree sebagai penuntut PhD di bawah Pengarah Pusat Reka Bentuk Kejuruteraan Cambridge University, Prof. Dr. John Clarkson disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyaksikan Prof John Clarkson (tiga kanan) menyerahkan surat tawaran melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Cambridge tajaan Advance Pact, kepada Hanushree Arumugam di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 13 JUN 2024.

Proses pencarian pelajar bermula dengan membuka iklan pada Januari lalu dan telah menerima 19 permohonan daripada pelbagai latar belakang termasuk pegawai perubatan daripada hospital kerajaan dan swasta.

Selepas saringan dokumentasi dilakukan enam pemohon berjaya melepasi Fasa 1 dan telah ditemuduga oleh Pengarah Urusan Shamsulbahrin Ludin dan Siti Ainol Khabtiah.

Melalui sesi tersebut dua pemohon telah terpilih untuk ke Fasa 2 dan telah ditemu duga oleh dua professor berlatarbelakangkan akademik dan kedoktoran dari universiti tersohor negara.

Berdasarkan penilaian dan tapisan, panel penemuduga serta Advance Pact telah membuat keputusan untuk memilih Hanushree.

Beliau seterusnya ditemuduga oleh Clarkson dan pada 6 Jun lalu pihak universiti telah mengeluarkan surat penerimaan bagi kemasukan 1 Oktober ini.

Hanushree Arumugam

Sementara itu Hanushree yang berasal dari Kuala Lumpur dan anak bongsu daripada dua beradik melahirkan perasaan gembira dengan penganugarahan biasiswa dan peluang yang diberikan oleh Advance Pact.

Katanya, biasiswa tersebut bukan sahaja membolehkan beliau melangkah lebih jauh dalam kerjaya tetapi juga akan digunakan semula untuk memajukan bidang perubatan di Malaysia.

“Saya berterima kasih kepada Advance Pact dan berharap dapat membawa pendekatan yang sistematik untuk menangani cabaran di dalam industri penjagaan kesihatan tanah air dan menyumbang ke arah kemajuannya.

“Saya sangat mendapat inspirasi daripada tawaran biasiswa ini dan saya teruja untuk berusaha ke arah Malaysia yang lebih baik dengan kerjasama Cambridge University terutama dalam menggunakan system approach dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

John Clarkson

Hanushree akan berada di Cambridge University selama empat tahun dengan setiap tahun tajaan mencecah $36,000 pound.

Sementara itu, Clarkson yang memperkenalkan system approach yang mengabungkan kejuruteraan dan perubatan dalam bidang kesihatan teruja menerima Hanushree sebagai pelajar penyelidikan baharu dalam kumpulannya.

Katanya, Hanushree adalah pelajar pertama dari Malaysia yang akan mempelajari dan mendalami system approach dibangunkannya sejak lima tahun lalu.

Clarkson kini berada di Malaysia dan telah menyampaikan syarahan perdana bertajuk Application of Systems Approach: National Transformation Plan (Aplikasi Sistem Pendekatan – Program Transformasi Negara) di Fakulti Perubatan Universiti Teknologi (UiTM) Mara kelmarin. – MalaysiaGazette