YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi tayangan khas filem Sheriff di Putrajaya, 12 Jun, 2024. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bertegas untuk tidak campur tangan dalam soal kreativiti dan pencambahan idea serta nilai karya anak-anak seni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal mendukung prinsip kebebasan berekspresi menerusi karya dan ia mesti disemarakkan.

“Malam tadi saya dan Azizah berpeluang menonton tayangan khas filem Sheriff Narko Integriti dalam program anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di GSC IOI Mall, Putrajaya.

“Saya terkesan tatkala filem ini menjadikan isu integriti, rasuah dan salahguna kuasa sebagai tema utama.

“Saya sambut baik usaha murni pihak pembikin filem ini yang menyambut ketegasan Kerajaan dalam mendepani masalah rasuah dan kelemahan tatakelola,” katanya dalam kenyataan di media social.

Anwar juga kagum dengan mutu perfileman tempatan yang begitu membanggakan dan yakin industri tempatan punyai keupayaan untuk bersaing, tidak hanya di rantau ini malah di peringkat antarabangsa juga.

“Sekalung tahniah buat pasukan penyutradaraan, para pelakon, penerbit serta semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem Sheriff Narko Integriti,” katanya.- MalaysiaGazette