Pengerusi Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (PPLTM), Datuk Micheal Loo menunjukkan surat persatuan yang dihantar kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada sidang media di pejabatnya di Bandar Puchong Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia (PPLTM)  kesal dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang didakwa tidak melayani permohonan untuk mendapatkan bekalan diesel bersubsidi sejak Oktober tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Micheal Loo berkata, permohonan mereka tidak mendapat sebarang maklum balas KPDN selepas surat persatuan itu yang dihantar pada 30 Oktober 2023.

“Saya ada menulis surat bertarikh 30 Oktober 2023 kepada KPDN melalui emel untuk memohon diesel bersubsidi tapi tak berjawab, tak balas surat saya pun, mungkin persatuan kita terlalu kecil agaknya.

“Kami memohon agar industri kami lori tipper dimasukkan ke dalam kategori sektor keperluan asas dan berhak untuk mendapat minyak bersubsidi.

“Sebaliknya KPDN hanya menjemput saya hadir ke bengkel di Kuala Lumpur dan saya ada hadir namun mereka menolak cadangan saya dengan alasan sejak dahulu industri tipper memang tak pernah dapat subsidi,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bandar Puchong Jaya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin lalu selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Michael juga kecewa dengan jawapan yang diberikan pihak KPDN kepadanya sedangkan polisi dan dasar kerajaan sudah berubah dan jauh berbeza dengan pemimpin terdahulu.

“Memang selama ini tidak diberikan diesel bersubsidi, itu dulu. Pemimpin kita pun ada cakap itu dulu, dulu kalau saya menang pun esok saya turun harga minyak tapi situasi sekarang tidak sama.

“Sama saya juga, dulu dia tak boleh bagi, sekarang boleh bagi, sama juga. Kita bincanglah untuk kebaikan bersama, saya bukan nak jadi pembangkang, saya bukan ahli politik,” katanya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak mengkategorikan industri lori tipper sebagai keperluan asas sedangkan mereka sebahagian daripada sektor pembinaan dan perumahan.

“Rumah pun salah satu keperluan asas, tak sementinya makanan sahaja, bahkan pakaian, tempat tinggal juga adalah keperluan asas. Kalau tidak anak-anak lahir nak tinggal mana.

“Mereka tak fikir rumah ini dibina menggunakan bahan apa, bila harga diesel naik, harga kos bahan binaan pun naik, siapa yang berniaga nak rugi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here